
LAUTAN luas di pesisir Sarawak menyimpan pelbagai rahsia, daripada penyu yang kembali mendarat setiap musim, hingga ke rantaian ekosistem halus yang menjadi nadi kehidupan nelayan tradisional.
Di tengah-tengah khazanah ini, satu projek konservasi unik sedang berjalan senyap tetapi penuh harapan iaitu Projek Bebola Terumbu Sarawak.
Sejak diperkenalkan, tukun tiruan ini bukan sahaja menjadi pelindung ekosistem marin, malah lambang kesungguhan kerajaan Sarawak menjaga warisan lautnya.
Namun, melaksanakan projek sebesar ini bukan perkara mudah. Bayangkan sahaja, kawasan dari Tanjung Datu di hujung barat hingga Lawas di utara Sarawak perlu dipantau dan diurus dengan rapi.
Gelombang tinggi, cuaca yang tidak menentu, serta air laut yang keruh sering kali menjadi ujian kepada pasukan pemantau.
Di sebalik cabaran itu, kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) terus melangkah, dibantu teknologi moden dan kerjasama dengan komuniti setempat.
Lebih menarik, kesan tukun bebola terumbu mula dirasai sejak fasa awal lagi. Aktiviti pukat tunda haram berkurang, koloni karang baharu mula terbentuk, malah nelayan tradisional melaporkan hasil tangkapan mereka semakin meningkat.
Di sesetengah lokasi, potensi pelancongan marin seperti selaman skuba dan rekreasi memancing juga mula dikenal pasti telah membuka lembaran baharu ekonomi biru yang memberi manfaat kepada masyarakat pesisir.
Bagi memahami lebih mendalam tentang cabaran, strategi dan penemuan projek besar ini, wartawan Utusan Sarawak, Earl Anek menemu bual Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran.
Dalam temu bual eksklusif ini, beliau berkongsi pandangan tentang bagaimana tukun bebola terumbu memberi nafas baharu kepada ekosistem laut Sarawak, serta harapan besar yang tersimpan untuk masa depan.

Soalan (S): Projek tukun tiruan ini meliputi kawasan luas dari Tanjung Datu hingga Lawas. Bagaimana SFC mengurus cabaran logistik dan pemantauan di kawasan yang begitu besar?
Abang Arabi: SFC menggunakan pendekatan berfokus dengan mengenal pasti beberapa lokasi strategik sebagai plot kajian tetap yang dipilih secara saintifik dan sistematik untuk pemantauan intensif, mewakili pelbagai jenis habitat marin utama.
Prosedur tinjauan telah direka oleh SFC dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk mengumpul data saintifik berkaitan biodiversiti marin dan impak sosioekonomi daripada tukun bebola terumbu.
Pendekatan ini membolehkan pemantauan dijalankan secara konsisten dan efisien tanpa perlu meliputi keseluruhan kawasan secara serentak.
Antara cabaran utama di lapangan ialah keadaan laut yang tidak menentu, termasuk gelombang tinggi, cuaca buruk, keadaan air laut yang keruh sering menjejaskan operasi pemantauan terutamanya kajian yang menggunakan kaedah selaman SCUBA dan penggunaan Kenderaan Kawalan Jauh (ROV).
Bagi mengatasi cabaran ini, SFC bekerjasama rapat dengan pengusaha bot tempatan yang berpengalaman dan memahami perairan setempat. Di samping itu, teknologi sonar turut digunakan bagi membantu mengenal pasti lokasi tukun dengan lebih tepat.
S: Apakah kaedah atau kriteria khusus yang SFC gunakan dalam penilaian impak Fasa 2, sama ada dari segi ekologi atau sosioekonomi?
Abang Arabi: Dalam Fasa 2 Projek Tukun Bebola Terumbu, SFC terus melaksanakan pemantauan saintifik bagi menilai kesan terhadap biodiversiti marin serta impak sosioekonomi dengan menggunakan kaedah yang konsisten.
Jika pada Fasa 1 fokus utama adalah perlindungan kawasan perikanan tradisional, Fasa 2 memberi tumpuan lebih luas dengan menekankan peluang ekonomi baharu yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti setempat.
Sehubungan itu, SFC akan menjalankan kaji selidik dan libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk komuniti pesisir, pengusaha pelancongan, pengendali bot, serta penyedia inap desa.

Hasil maklum balas ini akan digunakan bagi memastikan manfaat projek dapat diagihkan secara adil. Di samping itu, satu kajian penilaian ekonomi menyeluruh turut dilaksanakan bagi mengukur manfaat projek secara holistik, bukan sahaja dari sudut ekonomi, tetapi juga sosial dan ekologi.
Penilaian ini penting untuk memberikan gambaran sebenar mengenai sumbangan projek kepada kesejahteraan komuniti, kelestarian sumber marin, serta kepentingan strategik kepada pembangunan Sarawak.
S: Bagaimana SFC memastikan tukun tiruan ini benar-benar berfungsi melindungi spesies terancam seperti penyu, mamalia laut, terumbu karang dan padang rumput laut?
Abang Arabi: Penggunaan tukun bebola terumbu di Sarawak bermula sejak 1998 dengan pemantauan saintifik berterusan yang merangkumi aspek ekologi dan sosioekonomi. Kajian menunjukkan bahawa selepas tukun bebola terumbu dilabuhkan di kawasan Sematan, aktiviti kapal tunda haram berkurangan secara signifikan, sekali gus meningkatkan kadar pendaratan penyu di Taman Negara Talang Satang.
Dari sudut ekologi, tukun bebola terumbu berfungsi sebagai substrat keras yang mempercepatkan proses perlekatan larva karang (coral recruitment) serta menjadi habitat baharu kepada pelbagai spesies komersial seperti ikan karang, krustasea dan moluska.
Selain itu, reka bentuk tukun bebola terumbu turut membantu mengurangkan impak arus laut, sekali gus mewujudkan kawasan perlindungan semula jadi yang menyokong pemulihan ekosistem marin termasuk pertumbuhan kawasan padang rumput laut baharu.

Pemantauan di kawasan perairan Taman Negara Talang Satang telah merekodkan perkembangan positif dengan merekodkan kawasan baharu serta pertumbuhan semula rumput laut.
Habitat baharu ini bukan sahaja memperkayakan biodiversiti marin, malah turut mewujudkan kitaran makanan semula jadi yang menyokong kelangsungan pelbagai hidupan marin termasuk penyu, mamalia laut, serta ikan komersial.
Tambahan lagi, kajian awal tukun bebola terumbu terbukti meningkatkan kepelbagaian spesies dan kepadatan ikan komersial, yang bukan sahaja menyokong keseimbangan ekosistem marin, malah memberi manfaat sosioekonomi kepada komuniti nelayan setempat.
S: Adakah terdapat penemuan awal di lokasi tertentu yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekosistem lebih cepat daripada jangkaan?
Abang Arabi: Kajian pemantauan bagi Projek Sarawak Bebola Terumbu Fasa 1 (SRBP 1), yang meliputi sepanjang 746 kilometer (km) pesisir pantai, sedang berjalan dan dijangka selesai pada penghujung 2025. Penemuan awal pelaksanaan tukun bebola terumbu dalam Fasa 1 menunjukkan tanda-tanda positif terhadap pemulihan ekosistem marin.
Dari aspek ekologi, terdapat peningkatan biodiversiti dengan kehadiran pelbagai spesies ikan karang, krustasea dan moluska yang menjadikan tukun sebagai habitat baharu, di samping perlekatan larva karang yang menandakan proses pembentukan koloni baharu.
Kawasan terlindung daripada arus turut mendorong pertumbuhan padang rumput laut, sekali gus menyediakan habitat makanan penting untuk penyu seperti yang dilaporkan di Taman Negara Talang Satang.
Dapatan awal tinjauan biodiversiti menggunakan kaedah Tinjauan Usaha Penangkapan Ikan dan selaman SCUBA telah merekodkan 43 spesies ikan daripada 28 famili ikan, dengan (tangkapan per unit usaha) CPUE sebanyak 0.03 kilogram (kg)/minit.
Tinjauan SCUBA di 42 unit tukun bebola terumbu merekodkan 5,158 individu ikan daripada 38 spesies, dengan ketumpatan ikan antara 1.89 hingga 106.2 individu/m³ dan nilai biojisim sebanyak 2,196.81 ± 181.22 kg/m³, menunjukkan bahawa tukun bebola terumbu berfungsi dengan berkesan sebagai peranti pengumpulan ikan.
Di samping itu, tukun bebola terumbu berfungsi menghalang aktiviti penangkapan ikan secara haram, yang seterusnya menyokong pemulihan stok ikan. Dari sudut sosioekonomi, nelayan tradisional mula menikmati kesan limpahan dengan peningkatan hasil tangkapan di kawasan bersebelahan tukun, manakala potensi baharu dalam pelancongan marin seperti selaman skuba dan rekreasi memancing mula dikenal pasti.
Kesedaran komuniti setempat juga semakin meningkat, menjadikan tukun bebola terumbu sebagai aset penting bagi kesejahteraan ekonomi dan kelestarian ekosistem marin jangka panjang.
S: Kajian Fasa 1 menunjukkan pendapatan nelayan meningkat sehingga 200 peratus. Adakah trend sama mula kelihatan dalam Fasa 2?
Abang Arabi: Kajian sosioekonomi untuk Fasa 2 belum dimulakan kerana SFC baharu sahaja selesai melabuhkan 5,000 unit tukun bebola terumbu di perairan Sarawak.
Namun begitu data daripada Fasa 1, akan digunakan sebagai kajian asas untuk Fasa 2 dijangkakan akan bermula pada 2026 sehingga 2027.
S: Bila SFC menjalankan penilaian impak, adakah nelayan tempatan dan komuniti pesisir turut dilibatkan sebagai responden atau rakan kerjasama?
Abang Arabi: Ya. Dalam Fasa 1, penilaian memberi tumpuan kepada nelayan pesisir sebagai responden, khususnya bagi mengkaji aspek kesan limpahan (spill over effect) aktiviti perikanan daripada penghalang tukun Reef Ball di sepanjang perairan Sarawak.
Manakala dalam Fasa 2, kajian diperluas dengan melibatkan komuniti yang lebih menyeluruh termasuk pengusaha bot, penyedia inap desa, serta pengendali aktiviti pelancongan dan selaman.
Ini kerana objektif utama Fasa 2 adalah untuk membuka peluang kepada pembangunan industri pelancongan berasaskan aktiviti laut, termasuk selaman SCUBA serta penggunaan tukun bebola terumbu sebagai peranti pengumpulan ikan atau Alat Pengumpul Ikan (FAD) untuk aktiviti sukan memancing.
S: Dengan adanya sembilan kluster selaman skuba dan sembilan kluster marikultur karang, sejauh mana SFC melihat potensi pelancongan marin dan industri berasaskan laut berkembang di Sarawak?
Abang Arabi: Di Malaysia, Sarawak adalah negeri yang mempunyai kawasan perairan terluas berbanding dengan negeri-negeri lain dan mempunyai pelbagai sumber marin yang berpotensi untuk dikembangkan.
Fungsi tukun bebola terumbu sebagai FAD bukan sahaja menyokong sumber makanan dan kitaran ekologi, malah turut membuka potensi kepada aktiviti rekreasi berasaskan laut seperti sukan memancing dan selaman SCUBA, yang memberi nilai tambah kepada komuniti pesisir.
Dengan adanya sokongan dan penglibatan daripada komuniti dan pemegang taruh yang lain, Sarawak dapat menjadi kawasan ekopelancongan yang mampan dan berdaya saing.
S: Bagaimana SFC memastikan manfaat ekonomi biru ini dapat diagihkan secara adil dan inklusif kepada komuniti setempat?
Abang Arabi: Sejak awal pelaksanaan projek Fasa 1 dan Fasa 2 projek tukun bebola terumbu SFC memastikan manfaat projek dapat diagihkan secara adil dengan melibatkan komuniti setempat.
Nelayan tradisional telah menikmati manfaat awal melalui perlindungan kawasan penangkapan ikan dan kesan limpahan dan ini telah di nyatakan oleh nelayan-nelayan tempatan kepada SFC.
Dalam Fasa 2, SFC telah melaksanakan sesi libat urus bersama komuniti pesisir, termasuk pengusaha bot, penyedia inap desa dan pengendali pelancongan, dengan tujuan memberi pendedahan mengenai potensi kawasan tukun bebola terumbu sebagai tarikan baharu.
Antara aktiviti yang berpotensi dibangunkan termasuk pelancongan marin, selaman SCUBA dan sukan memancing.
Selain itu, penekanan turut diberikan kepada aspek pembangunan kapasiti dan latihan, agar komuniti bukan sahaja berminat untuk terlibat dalam aktiviti pelancongan berkaitan tukun bebola terumbu, tetapi juga mempunyai keupayaan untuk mengurus peluang ini secara mampan.
Namun demikian, untuk mencapai sepenuhnya objektif Fasa 2, SFC menyedari bahawa kejayaan projek ini tidak dapat dicapai secara bersendirian.
Justeru, kerjasama erat dengan pelbagai agensi kerajaan lain adalah amat diperlukan bagi memastikan pembangunan berasaskan ekonomi biru ini dapat dilaksanakan secara inklusif, berkesan dan berterusan.
S: SFC menggunakan teknologi moden seperti eDNA, ROV dan selaman skuba. Bagaimana teknologi ini mengubah pendekatan pemantauan ekosistem laut?
Abang Arabi: Aktiviti pemantauan ekosistem laut sememangnya lebih mencabar berbanding di darat kerana faktor kedalaman, keterbatasan jarak pandangan, dan kos operasi.
Penggunaan ROV membolehkan rakaman visual dijalankan di kedalaman yang sukar dicapai penyelam, manakala selaman skuba memberikan data lapangan secara terus dan terperinci.
Dengan menggunakan teknologi moden seperti eDNA pula, SFC dapat mengesan kehadiran spesies melalui analisis genetik daripada sampel air tanpa perlu menangkap atau mengganggu hidupan marin.
Gabungan ketiga-tiga pendekatan ini membolehkan kerja pemantauan dilaksanakan dengan lebih berterusan, menyeluruh, serta memberikan gambaran saintifik yang lebih tepat tentang keadaan ekosistem marin di kawasan tukun bebola terumbu.
S: Adakah SFC menjalin kerjasama dengan universiti atau institusi penyelidikan untuk memperkukuh data saintifik projek ini?
Abang Arabi: SFC bekerjasama rapat dengan universiti tempatan seperti UMT dan Universiti Malaya bagi memperkukuhkan data saintifik projek ini.
S: Ancaman terbesar kepada biodiversiti marin Sarawak masa kini apa sebenarnya, adakah pukat tunda haram, pencemaran, atau perubahan iklim?
Abang Arabi: Ancaman kepada biodiversiti tidak dapat dilihat dari satu aspek sahaja kerana ia sangat berkait rapat antara satu sama lain.
Konservasi marin harus dilakukan secara menyeluruh dan konsisten. Setiap ancaman seperti pukat tunda, pencemaran dan juga perubahan iklim adalah penyumbang pemicu tekanan (stressor) kepada hidupan laut.
Jika kita tidak melakukan sebarang langkah-langkah pencegahan berasaskan sains, pemicu tekanan ini akan terkumpul dan mengakibatkan impak yang buruk kepada biodiversiti dan ekosistem marin.
S: Apakah mesej atau nasihat Tuan kepada rakyat Sarawak tentang pentingnya pemuliharaan marin untuk generasi akan datang?
Abang Arabi: Pemuliharaan marin merupakan tanggungjawab bersama yang amat penting dalam memastikan kelestarian sumber alam untuk generasi akan datang.
Laut bukan sahaja menjadi sumber rezeki kepada komuniti nelayan, malah merupakan aset semula jadi yang menyumbang kepada keselamatan pesisir pantai, sektor pelancongan serta keseimbangan ekosistem.
Justeru, saya menggesa seluruh rakyat Sarawak agar terus menyokong usaha pemuliharaan marin yang dijalankan oleh SFC dengan sentiasa berfikiran positif, penuh kesedaran dan tanggungjawab.
Hanya dengan menjaga khazanah laut hari ini, kita dapat menjamin manfaat ekonomi, sosial dan alam sekitar yang berterusan demi kesejahteraan generasi masa hadapan.
Oleh Earl Anek