ALEXANDRA LORNA
KUCHING: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak membenarkan sebarang konsep perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan demi keselamatan dan kesihatan rakyat.
Pengerusi MPKS Dato Peter Minos berkata, seperti Majlis Tempatan lain, MPKS bertegas akan mematuhi arahan dan keputusan kerajaan.
“Tahun ini ,kerajaan turut memutuskan tiada bazar Ramadan dan Gawai dianjurkan dalam apa jua bentuk dan kita akan patuh dengan tindakan itu.
“Ini adalah untuk kebaikan rakyat di negeri ini dalam kita membanteras penularan wabak Covid-19 dan situasi yang kita alami sekarang adalah situasi antara hidup dan mati,” katanya ketika ditemubual Utusan Sarawak, semalam.
Pada 16 April, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang konsep perniagaan termasuk dalam bentuk pandu lalu, tempah dan ambil serta e-hailing tidak dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan bazar Ramadan.
Minos menambah, setiap pihak perlu bersabar dan memahami situasi terkini yang mana wabak ini benar-benar mengancam Malaysia dan rakyatnya.
“Kita harus memandang perkara ini secara serius dan hendaklah memainkan peranan dalam mengekang wabak ini daripada menular.
“Oleh demikian, kita harus bersabar dan faham mengapa tiada bazar Ramadan dan Gawai tahun ini serta tiada majlis yang lain,” katanya.
Manakala, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) turut akur degann keputusan tersebut.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, jika keputusan tersebut adalah yang terbaik bagi melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat, beliau menyambut baik keputusan itu.
“Bagi peniaga yang terjejas kerana sepatutnya berjual di Bazar Ramadan ini, kita tunggu pula keputusan daripada kerajaan nanti,” katanya.