Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Sarawak komited jadikan Miri pintu masuk utama wilayah utara
  • Utara
  • WILAYAH

Sarawak komited jadikan Miri pintu masuk utama wilayah utara

Utusan Sarawak 6 days ago
RASMI… Dato Sri Lee Kim Shin  (sembilan kanan) bersama tetamu kehormat yang lain memecahkan belon pada majlis makan malam Gala Persidangan Diabetes Borneo 2025 di Miri, malam tadi. 

MIRI: Kerajaan Sarawak komited menjadikan Miri sebagai salah satu pintu masuk utama ke wilayah utara negeri itu dan hab bagi persidangan serta acara antarabangsa.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, usaha itu selaras dengan visi kerajaan negeri untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi utama persidangan, pameran dan pelancongan, termasuk acara berkaitan perubatan serta kesihatan yang mampu menarik penyertaan delegasi serantau dan antarabangsa.

“Persidangan perubatan bukan sahaja membawa ilmu serta kepakaran kepada petugas kesihatan kita, malah turut memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri,” katanya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin pada majlis makan malam Gala Persidangan Diabetes Borneo 2025 di sini malam tadi.

Sim berkata, Miri mempunyai potensi besar dalam pembangunan ekonomi dan pelancongan kerana kedudukannya yang strategik berhampiran Brunei serta boleh menjadi pusat kerjasama rentas sempadan dalam bidang kesihatan, penyelidikan dan pelancongan.

Katanya, kerajaan negeri juga sedang giat melaksanakan pelbagai usaha pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan perhubungan bagi memastikan Miri kekal kompetitif sebagai destinasi pilihan penganjuran acara antarabangsa.

“Antara tumpuan utama ialah menaik taraf Hospital Miri, memperkukuh perkhidmatan pakar serta memperluas akses penjagaan kesihatan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman termasuk Limbang, Lawas dan Baram,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kesihatan awam kekal menjadi agenda penting kerajaan negeri dengan memberi tumpuan kepada aspek pencegahan, pemerkasaan komuniti serta kerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan seperti Diabetes Malaysia.

“Miri bukan lagi hanya dikenali sebagai bandar minyak, tetapi bandar masa depan yang pintar, mampan dan berdaya saing.

“Gabungan persidangan perubatan, kepelbagaian budaya, tarikan semula jadi dan peluang perniagaan menjadikan Miri lokasi ideal untuk pelawat antarabangsa,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Projek sambungan Tebingan Batang Lupar Sri Aman dijangka bermula 2026
Next: Warga emas terima sumbangan katil boleh laras

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.