Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Eksklusif: Kurang literasi politik punca belia jauhkan diri dari politik – Dr Lucy
  • SEMASA

Eksklusif: Kurang literasi politik punca belia jauhkan diri dari politik – Dr Lucy

Utusan Sarawak 1 week ago
BELIA… Prof Madya Dr Lucy Sebli Seidelson dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

KUCHING: Kelemahan literasi politik dalam kalangan belia dikenal pasti antara faktor utama yang menyebabkan golongan muda menjauhkan diri daripada arena politik negara.

Menurut Prof Madya Dr Lucy Sebli Seidelson dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), generasi muda kini dibanjiri dengan terlalu banyak maklumat sehingga sukar untuk membezakan antara yang benar dan palsu.

Katanya, keadaan itu menjadi lebih berisiko sekiranya belia tidak memiliki tahap literasi politik yang baik kerana mereka mudah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.

“Ada dalam kalangan belia yang memilih untuk tidak ambil peduli dengan tanggapan politik itu kotor, rumit dan tiada kaitan dengan kehidupan mereka.

“Sikap sebegini sebenarnya berbahaya kerana keputusan politik akan tetap memberi kesan kepada semua,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak selepas Program Membina Belia Pencetus Perubahan dan Revolusi Minda di Hotel Samudra, di sini hari ini.

Dr Lucy berkata, sikap apati politik wujud kerana belia tidak diberi pendedahan secukupnya mengenai proses politik dan hak mereka dalam sistem demokrasi.

Katanya, ramai yang akhirnya menjauhkan diri kerana beranggapan politik hanyalah ruang untuk perebutan kuasa serta dipenuhi pemimpin yang korup.

Selain itu, jelas beliau, sistem politik negara juga tidak begitu mesra kepada belia apabila peluang untuk menyertai proses politik sebenar sangat terbatas.

“Ya, kita ada majlis belia dan sayap belia dalam parti politik, tetapi sejauh mana mereka benar-benar diberi ruang membuat keputusan? Kebanyakan hanya dijadikan tenaga kerja untuk berkempen, bukan dididik tentang hak memilih atau membentuk hala tuju politik sendiri,” ujarnya.

Beliau menyifatkan fenomena itu sebagai satu bentuk tokenisme, di mana belia sekadar ‘dipamerkan’ seolah-olah terlibat tetapi tidak benar-benar diberi kuasa dalam membuat keputusan politik.

Dalam konteks itu, Dr Lucy turut menekankan kepentingan sistem pendidikan negara yang seharusnya memainkan peranan lebih besar dalam memperkukuh literasi politik.

Katanya, pendidikan sivik dan kewarganegaraan wajar diberi perhatian serius di peringkat sekolah supaya generasi muda lebih awal memahami hak mereka sebagai rakyat, fungsi institusi demokrasi, serta tanggungjawab untuk terlibat dalam proses politik.

“Kalau pendidikan hanya fokus kepada peperiksaan semata-mata tanpa menanam kesedaran politik, maka jurang kefahaman itu akan berterusan. Belia tidak sedar bahawa undi mereka adalah kuasa, dan kuasa itu yang membentuk masa depan negara,” katanya.

Beliau menegaskan, universiti juga boleh menjadi medan penting untuk memberi pendedahan politik yang lebih luas kepada mahasiswa, bukan sekadar melalui aktiviti akademik tetapi juga melalui forum, perdebatan, dan penyertaan dalam badan pelajar.

Dr Lucy menambah, tanpa literasi politik yang kukuh, belia mudah terdedah kepada pengaruh luar termasuk ideologi ekstremis yang boleh mengancam kestabilan negara.

Menurutnya, kegagalan melibatkan generasi muda dalam proses politik secara inklusif akan hanya melemahkan demokrasi serta melahirkan jurang antara pemimpin dan rakyat.

“Dalam negara demokratik, semua warganegara sepatutnya mempunyai kedudukan sama rata di sisi undang-undang. Inklusiviti itu penting dan belia tidak boleh dikecualikan,” tegasnya.

Beliau turut menegur sikap segelintir pemimpin lama yang enggan berundur meskipun telah terlalu lama berada dalam politik.

Katanya, budaya ‘old guards’ yang enggan melepaskan kuasa hanya menutup pintu kepada generasi muda untuk sama-sama menyumbang dalam pembentukan dasar dan hala tuju negara.

Dr. Lucy percaya, sebelum mengharapkan belia menyertai politik, perkara utama yang perlu dilakukan adalah mendengar dahulu suara mereka.

“Kita perlu bertanya secara jujur, mengapa mereka enggan atau ragu-ragu untuk terlibat? Dari situ barulah strategi boleh dirangka bagi menarik minat mereka,” katanya.

Sebagai langkah awal, beliau menyarankan agar lebih banyak platform diwujudkan untuk belia menyuarakan pandangan, termasuk melalui majlis belia yang benar-benar berfungsi sebagai jambatan dengan pihak pembuat dasar.

Dr Lucy yang berkhidmat di Jabatan Politik dan Hubungan Antarabangsa Unimas turut mempunyai kepakaran dalam bidang politik etnik, gender, migrasi serta pembangunan sosial di Sarawak.

Beliau juga aktif menulis dan menjalankan penyelidikan mengenai penglibatan wanita serta masyarakat minoriti dalam politik, sekali gus menjadikan pandangannya mengenai peranan belia dalam politik negara sebagai suatu yang signifikan.

Prof Madya Dr Lucy Sebli Seidelson merupakan seorang pakar dalam bidang politik, dasar awam dan hubungan antarabangsa.

Beliau kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), di bawah Jabatan Politik dan Hubungan Antarabangsa.

Beliau berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Politik Asia Timur dari University of Hull, United Kingdom (2005), Sarjana Sastera dari International University of Japan, Niigata (1997), serta Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya (1994).

Dengan kepakaran dalam bidang sains politik, dasar awam, politik pilihan raya, keselamatan dan pembangunan, Dr. Lucy aktif dalam penyelidikan serta pernah menjadi penyelia pelbagai kajian pascasiswazah termasuk topik seperti penyertaan politik wanita di Sarawak, keganasan politik belia di Nigeria, keselamatan dan pemerdagangan manusia, serta hubungan antarabangsa melibatkan Malaysia, ASEAN dan kuasa besar lain.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Setiap undi belia simbol harapan masa depan – Dr Noratikah
Next: Sarawak perkukuh industri kraf melalui Festival Kraf Antarabangsa ke-3 di Uzbekistan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.