
KUCHING: Kalimantan Barat, Indonesia tidak akan menyertai Sukan Borneo 2025 di Kuching berikutan langkah penjimatan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan provinsinya.
Setiausaha Wilayah Barat Kalimantan, Dr Harrison Azroi, berkata keputusan tersebut dibuat selaras dengan dasar kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan, termasuk mengehadkan perjalanan ke luar negara.
“Kalimantan Barat tidak akan mengambil bahagian kerana ketika ini kami berada dalam fasa penjimatan bajet, di mana salah satu penekanan adalah mengehadkan perjalanan ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Beliau mengulas laporan media sebelum ini yang memetik Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, bahawa hanya Kalimantan Timur akan mewakili Indonesia pada temasya kali ini manakala Kalimantan Barat tidak dapat turut serta atas faktor tertentu.
Bermula pada 1995 dan kali terakhir dianjurkan di Labuan pada 2013, Sukan Borneo kembali pada 2025 di Kuching dari 24 hingga 28 September ini dengan penyertaan kontinjen dari Sarawak, Sabah, Labuan, Brunei dan Kalimantan Timur.
Antara acara sukan yang bakal dipertandingkan termasuk olahraga, renang, badminton, memanah dan boling padang.
Sementara itu, acara sumpit yang pernah disenaraikan sebelum ini digugurkan berikutan kurang penyertaan.