
SIBU: Kursus Asas Kemahiran Seni Kraftangan Sarawak anjuran Pusat Kemahiran Kenyalang dengan sokongan Tabung Baitulmal Sarawak menjadi wadah terbaik untuk memupuk kefahaman serta keharmonian antara rakyat berbilang bangsa dan agama di negeri ini.
Program selama dua hari itu di Kompleks Islam Sarawak menghimpunkan seramai 50 peserta terdiri daripada peserta beragama Islam dan asnaf dengan objektif memperkukuh kemahiran serta membuka peluang ke arah penjanaan pendapatan melalui bidang kraf tangan.
Tenaga pengajar kursus, Lydia Bajok berkata pengalaman tersebut amat bermakna kerana beliau sebagai bukan beragama Islam diberi kepercayaan untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran dengan peserta.
“Saya berasa amat bangga kerana diberi peluang untuk mengajar dan berkongsi pengalaman bersama saudara-saudari daripada komuniti Muslim.
“Selain latihan praktikal, saya turut memberi pendedahan teori dan memupuk semangat peserta dalam bidang keusahawanan bagi membantu mereka menjana pendapatan,” katanya.

Sepanjang kursus itu, peserta didedahkan dengan pelbagai kemahiran asas kraf tangan.
Hari pertama bermula dengan sesi teori meliputi potensi pasaran, strategi pemasaran, penjenamaan produk, pengurusan kos serta peluang sokongan dalam bidang berkenaan, sebelum mereka mempelajari teknik asas jahitan ‘Tekuyong Buriek’.
Hari kedua pula memberi tumpuan kepada kemahiran asas anyaman bakul menggunakan tali PVC atau plastik yang menggalakkan kreativiti serta meningkatkan kemahiran peserta.
Kursus berkenaan bukan sahaja memperkasakan pengetahuan, malah membuktikan kraf tangan mampu menjadi medium penyatuan masyarakat selain membuka ruang menjana ekonomi komuniti setempat.
Oleh Akun Giman