
ISTANBUL: Kolej Universiti I-CATS terus mengorak langkah di peringkat antarabangsa apabila menjalin kerjasama strategik dengan Istanbul Teknik University (ITU), Turkiye, dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan bakat khususnya dalam sektor aeroangkasa.
Kerjasama ini sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab serantau dalam industri aeroangkasa dan teknologi tinggi, selain memperkukuh komitmen i-CATS dalam memperluaskan jaringan kerjasama global.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua institusi akan melaksanakan pertukaran pelajar pascasiswazah dalam jurusan Kejuruteraan Astronautik serta projek penyelidikan bersama.
Selain itu, pertukaran bahan saintifik dan maklumat turut dirancang bagi memperkukuh inovasi dan kemajuan ilmu dalam bidang aeroangkasa.
Inisiatif ini turut merangkumi lawatan akademik dan pertukaran tenaga pengajar bagi memperluas kepakaran dan membina kapasiti dalam bidang berkenaan.
Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti I-CATS Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, berkata kerjasama dengan Istanbul Teknik University merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan i-CATS menjadi peneraju dalam pendidikan dan penyelidikan aeroangkasa.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh visi Sarawak untuk menceburi industri teknologi tinggi, malah memastikan pelajar serta penyelidik kita mendapat pendedahan kepada kepakaran dan peluang bertaraf dunia,” katanya.
Naib Canselor Kolej Universiti I-CATS, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi, pula menegaskan bahawa kerjasama dengan sebuah institusi bertaraf global seperti ITU menggambarkan komitmen i-CATS dalam melahirkan bakat baharu serta memacu inovasi yang mampu memberi manfaat kepada Sarawak dan rantau ini.
Sementara itu, Naib Rektor ITU bagi Pendidikan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof. Dr. İpek Akın Karadayı, menyatakan bahawa pihaknya percaya kerjasama global seumpama ini mampu membuka ruang kepada pertukaran ilmu, inovasi dan penyelidikan bertaraf tinggi.
“Kerjasama dengan Kolej Universiti I-CATS bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik dan industri, malah memberi peluang berharga kepada pelajar serta tenaga akademik untuk terlibat dalam projek yang menyumbang kepada sektor aeroangkasa di Turkiye, Sarawak dan seterusnya,” katanya.
Kedua-dua institusi yakin bahawa jalinan ini akan memacu inovasi, memperkukuh pendidikan aeroangkasa, serta menyumbang kepada pertumbuhan sektor teknologi tinggi di rantau ini.