
KUALA LUMPUR: Penyanyi kelahiran Bumi Kenyalang, Dayang Nurfaizah, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tanah air apabila merangkul anugerah Album Terbaik menerusi album Belagu II pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik (AIM) 2025 di Arena of Stars, Genting Highlands, pada Sabtu lepas.
Kemenangan itu sekali gus mengiktiraf keunikan dan mutu produksi Belagu II, yang menampilkan susunan muzik klasik Melayu dengan sentuhan moden serta vokal mantap Dayang yang tidak pernah mengecewakan.
AIM 2025 menyaksikan persaingan sengit dalam pelbagai kategori, namun Belagu II berjaya menonjol dengan nilai estetika tinggi serta interpretasi muzik yang segar, menjadikannya pilihan utama juri profesional.

“Saya sangat bersyukur dan terharu apabila album Belagu II diumumkan sebagai pemenang Album Terbaik di AIM Ke-24. Ini adalah satu penghargaan besar buat saya dan seluruh pasukan, terutama sekali kepada penerbit album ini, Aubrey Suwito,” katanya menerusi hantaran video di Instagram (IG), Dayang.
Dayang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penghasilan album tersebut, termasuk para pemuzik, penerbit dan peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.
Beliau berkata, ini merupakan kali kedua mereka bekerjasama selepas album Belagu, dan bersyukur kerana usaha mereka akhirnya membuahkan hasil. Dayang turut menyatakan rasa bangganya kerana mereka berjaya merealisasikan projek tersebut, sambil menggenggam trofi kemenangan.
Selain Album Terbaik, Dayang dan Aubrey turut menggondol trofi Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Semua Bahasa) menerusi karya Rindu Menyapa.
Album Belagu II merupakan sekuel kepada album Belagu yang dilancarkan pada 2021 yang mana album tersebut menerima pelbagai reaksi positif malah diangkat sebagai penerima bagi beberapa kategori di Anugerah Industri Muzik tahun lalu.
Perkataan ‘Belagu’ membawa maksud menyanyi diambil daripada dialek Melayu Sarawak merupakan sebuah album dibarisi lagu klasik Melayu malar segar yang disusun semula muziknya.