
KUALA LUMPUR: Tupperware Brands Malaysia secara rasmi melancarkan inovasi terbaharunya Voilà Glassware, rangkaian premium bekas penyimpanan daripada kaca borosilikat tahan lasak yang selamat digunakan untuk ketuhar, dengan rekaan menggabungkan gaya, fungsi dan kelestarian.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan koleksi baharu itu telah diperkenalkan oleh Pengarah Komersialnya James Yeoh, yang menyifatkan Voilà Glassware menepati erti sebenar perkakasan dapur moden yang memudahkan.
Beliau berkata koleksi itu juga merupakan episod seterusnya dalam usaha Tupperware Brands Malaysia memberikan penyelesaian kepada konsep dapur pintar dan lestari.
“Dengan rekaan yang minimalis, penutup kedap udara, dan serba guna, ia dihasilkan untuk memenuhi keperluan isi rumah masa kini yang lebih peka terhadap alam sekitar,” katanya menerusi kenyataan itu.
Voilà Glassware ditawarkan dalam dua rekaan yang bergaya, iaitu empat segi (1.6 liter) dan bulat (1.7 liter), selain didatangkan sekali dengan penanda isipadu pintar untuk memudahkan pengisian.
Menurut Tupperware Brands Malaysia penutup yang bebas bisfenol A (BPA) itu direka dengan sistem tekan-untuk-kedap bagi memastikan makanan disimpan tidak mudah tumpah, dan boleh dipanaskan semula tanpa perlu bimbang akan melimpah kerana terdapat lubang wap.
Antara kelebihan utama Voilà Glassware adalah ketahanannya yang selamat digunakan untuk ketuhar, ketuhar gelombang mikro (microwave), peti sejuk beku, peti sejuk, dan mesin basuh pinggan, selain rim pegangan 360 darjah untuk pengendalian yang selamat dan penanda isipadu pintar bagi mengelakkan cecair seperti sup atau sos diisi berlebihan.
Tupperware Brands Malaysia berkata Voilà Glassware akan mula dijual di seluruh negara bermula hari ini melalui di laman sesawang www.tupperwarebrands.com.my, serta pengedar sah.
“Dengan lebih 60 tahun di Malaysia, Tupperware terus membawakan penyelesaian yang inovatif dan kelebihan boleh diguna semula yang membantu mengurangkan sisa buangan serta menambah baik kehidupan seharian,” menurut kenyataan itu.- Bernama