
Van Dijk meraikan jaringan kemenangan Liverpool yang dihasilkannya. Foto AFP
LIVERPOOL: Virgil van Dijk muncul wira apabila menanduk gol kemenangan pada masa kecederaan untuk membantu Liverpool menewaskan Atletico Madrid 3-2 pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi, sekali gus mencetus konfrontasi panas membabitkan Diego Simeone dan penyokong tuan rumah di Anfield.
Simeone diarah keluar padang oleh pengadil Itali, Maurizio Mariani selepas insiden itu, biarpun Atletico berjaya bangkit daripada ketinggalan 0-2 hasil dua jaringan Marcos Llorente.
Liverpool bermula garang apabila Mohamed Salah menyumbang dua gol awal, termasuk sepakan percuma yang terkena Andy Robertson sebelum dia menambah jaringan kedua dengan rembatan kemas.
Namun, deja vu hampir berulang apabila Llorente, yang pernah menjadi ‘pemangsa’ The Reds lima tahun lalu, menyamakan kedudukan dengan dua gol peribadi, termasuk satu yang terkena Alexis Mac Allister.
Van Dijk akhirnya memusnahkan kebangkitan pelawat apabila menanduk masuk hantaran sudut Dominik Szoboszlai pada minit ke-92 untuk memastikan tiga mata penuh milik tuan rumah.
Ketegangan memuncak sebaik wisel penamat apabila Simeone dikatakan mahu seorang penyokong Liverpool dihalau kerana didakwa menghina dirinya sepanjang perlawanan.
“Reaksi saya tidak boleh dijustifikasi, tetapi bayangkan dihina 90 minit tanpa henti. Sama seperti kita lawan isu perkauman, perkara ini juga wajar diberi perhatian,” kata Simeone.

Penyerang Mesir itu yang sebelum ini dilihat agak tenggelam selepas ketibaan trio Florian Wirtz, Hugo Ekitike dan Alexander Isak, kembali menunjukkan bisanya dengan kelincahan dan penyudah tajam.
Salah hampir melengkapkan hatrik apabila percubaannya terkena tiang selepas menerima umpanan Wirtz.
Pengendali Liverpool, Arne Slot bagaimanapun kurang berpuas hati dengan kemenangan dramatik itu.
“Perlawanan ini sepatutnya boleh dimuktamadkan lebih awal. Kami cipta banyak peluang untuk gol ketiga,” katanya.
Walaupun menang semua lima perlawanan awal musim ini di Liga Perdana Inggeris dan UCL dengan jaringan lewat, kelemahan benteng The Reds masih ketara apabila sudah empat kali melepaskan dua gol atau lebih musim ini. – AFP