
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri turun padang melakukan lawatan kerja di beberapa lokasi sekitar Kampung Kupang bagi meninjau pelaksanaan serta perancangan projek pembangunan untuk kepentingan penduduk.
Antara isu utama yang dibangkitkan termasuk keperluan mengalihkan sebatang tiang elektrik voltan tinggi (11kilovolt) dan tiang telekomunikasi (fiber optik) di hujung jalan projek Jalan Bajau-Kupang ke seberang parit bagi melancarkan kerja pembangunan.
Selain itu, beliau turut meninjau tapak cadangan tanah wakaf bagi Tadika Kampung Kupang yang dicadangkan untuk dimasukkan ke dalam projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan anggaran kos RM350,000.
Dalam lawatan sama, bilik gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Hilir Kupang juga dibangkitkan untuk dinaik taraf dengan kos RM100,000 melalui permohonan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri melalui Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO).


Isu hakisan serius sepanjang 380 meter di Jalan Kampung Hilir Kupang turut mendapat perhatian apabila pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) telah melakukan siasatan awal bulan ini untuk tindakan susulan.
Projek lain yang turut dikenal pasti ialah pembinaan penutup parit serta pelebaran jalan penghubung ke jalan utama dan jalan tebingan sungai dengan kos dianggarkan RM100,000.
Dalam pada itu, Mohamad Duri juga melawat tapak pembinaan baharu Surau Kampung Hilir dan Masjid Kampung Kupang yang telah dipohon melalui Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS) dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Saratok (LAKIS) dan Pusat Khidmat ADUN Kalaka.
“Alhamdulillah, selaku wakil rakyat, saya akan terus berusaha agar keperluan asas penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka dapat dipenuhi.
“Kerjasama penduduk kampung, khususnya dalam memberikan izin lalu (wayleave) amat diperlukan bagi melancarkan proses mengalihkan tiang elektrik dan telekomunikasi,” katanya.
Lawatan kerja tersebut turut disertai Pemanca Lim Guan Ann, Penghulu Misis Aris, Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad serta ketua-ketua masyarakat Kampung Kupang.
Oleh Adi Safarman