Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Doa, sabar, usaha: Resipi kejayaan Diana Valentine
  • INSPIRASI

Doa, sabar, usaha: Resipi kejayaan Diana Valentine

Utusan Sarawak 4 hours ago
DIANA Valentine.

KOTA SAMARAHAN: “Assignment bertimbun, kerja tak pernah habis, jalan raya pun macam ujian kesabaran. Kadang-kadang saya doa, Ya Tuhan, bagi saya sabar… tapi sabar tu rasa macam kena renew setiap hari,” seloroh Diana Valentine sambil tertawa kecil, mengimbau kenangan getir yang akhirnya berubah menjadi manis di hari konvokesyen.

Di sebalik tawa itu, tersimpan sebuah kisah perjalanan lima tahun yang penuh warna, ada air mata, ada ketawa, ada detik hampir menyerah, namun akhirnya berakhir dengan kejayaan yang membanggakan.

Pada usia 29 tahun, Diana bukan sekadar seorang graduan Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian), tetapi simbol seorang wanita yang kental, tabah, dan percaya bahawa pertolongan Tuhan sentiasa hadir pada waktu paling diperlukan.

BERGAYA… Diana merakamkan kenangan bersama kedua ibu bapanya.

Bagi Diana, setiap hari adalah perjuangan. Pagi dimulakan dengan tugasan kerja, siang berkejaran di tengah kesesakan jalan raya Kota Samarahan, dan malam pula terisi dengan tugasan serta ulang kaji pelajaran.

Ada ketika tubuh terasa lelah, mata berat, dan hati goyah. Namun, doa dan cinta daripada suami tercinta, ibu bapa, serta rakan seperjuangan menjadi penawar yang membuatnya bangkit semula.

“Kadang-kadang saya rasa nak putus asa, tapi bila teringat pengorbanan keluarga, saya kuat semula. Mereka adalah sebab utama saya bertahan sampai habis.”

“Paling membahagiakan adalah saat melihat wajah ibu bapa dan keluarga begitu bangga dengan pencapaian saya. Itulah hadiah terbesar dalam hidup,” katanya dengan mata berkaca namun tersenyum.

Kenangan pahit manis sepanjang lima tahun itu, menurut Diana, tidak mungkin dilupakan. Ia mengajarnya bahawa kejayaan bukan hadir sekelip mata, tetapi melalui ujian demi ujian yang menuntut kesabaran dan pengorbanan.

“Lima tahun belajar bukan mudah. Tapi saya percaya, setiap peluh dan air mata itu adalah jalan Tuhan untuk mengajar saya erti sabar dan syukur.”

Dan pada akhirnya, segala jerih payah itu berbayar apabila segulung ijazah kini berada dalam genggamannya.

Diana tidak melihat konvokesyen ini sebagai noktah. Sebaliknya, ia adalah titik mula kepada perjalanan baru.

DIANA bergambar bersama keluarga.

“Bagi saya, graduasi ini bukan pengakhiran. Ia adalah permulaan untuk saya buktikan bahawa kejayaan boleh jadi realiti jika kita berani bermimpi dan berusaha.”

Seiring dengan pesan Pro-Canselor UiTM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said semasa Istiadat Konvokesyen UiTM ke-102 di Dewan Jubli UiTM pagi tadi, Diana berpegang pada prinsip untuk terus menimba ilmu, menggilap potensi, dan menabur bakti kepada keluarga, organisasi, masyarakat, dan tanah air tercinta.

Bagi Diana Valentine, segulung ijazah ini bukan sekadar kertas. Ia adalah simbol cinta, doa, pengorbanan, dan bukti bahawa Tuhan tidak pernah sia-siakan usaha hamba-Nya.

Oleh Norman B

Continue Reading

Previous: Gema muhibbah: Alunan merdu sape ikat penyatuan rakyat Malaysia
Next: Ayrton Mohd Azeem Low mahu buktikan Sarawak mampu bersaing di arena permotoran nasional

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.