
BETONG: Seramai lebih 250 pelajar sekolah menengah di Bahagian Betong menyertai program dua hari ‘Membina Masa Depan Belia’ bagi merancang masa depan akademik dan kerjaya mereka di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan.
Program anjuran bersama Pusat Khidmat Parlimen Betong (P204), Persatuan Belia Maju Padungan, Layar Education Development Committee (N36) serta SABERKAS Bukit Saban itu mendapat sambutan hangat daripada pelajar Tingkatan 4, 5, 6 dan lepasan SPM serta STPM.
Sepanjang program, pelajar didedahkan kepada pelbagai laluan pendidikan, peluang kerjaya serta sesi kaunseling dan motivasi. Sebanyak 12 institusi pengajian tinggi turut serta, antaranya Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak, UiTM Cawangan Sarawak, Kolej Laila Taib, i-CATS University College, Sarawak Skills dan CENTEXS.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu, yang menegaskan bahawa program seumpama ini membuktikan kesungguhan pihaknya untuk memperkasa belia di kawasan Parlimen Betong.
“Melalui platform ini, para pelajar dapat meneroka peluang pendidikan, biasiswa dan kerjaya dengan lebih jelas. Ia juga menggalakkan mereka merancang masa depan seawal di bangku sekolah menengah,” ujarnya.
Beliau menambah, usaha memperkasakan pendidikan belia adalah kunci kepada pembangunan jangka panjang.
“Jika kita mahu melihat Betong terus makmur, kita mesti bermula dengan pelajar hari ini. Mereka inilah yang akan menjadi pemimpin, profesional dan tenaga mahir pada masa hadapan,” tegasnya.
Antara pengisian utama ialah ceramah motivasi, sesi Kenali Personaliti, Laluan Kerjaya, Laluan Pendidikan serta perkongsian inspirasi daripada anak tempatan Betong yang berjaya dalam dunia akademik. Pameran pendidikan dan sesi temu duga terbuka turut dijalankan bagi memberi ruang interaksi secara langsung dengan institusi pengajian.

Program ini juga seiring dengan usaha kerajaan negeri memperkenalkan Sarawak Free Tertiary Education Scheme (FTES) mulai 2026, yang membuka akses pendidikan tinggi percuma di institusi milik negeri kepada ‘Anak Sarawak’.
Para peserta memberikan maklum balas positif. Emanuel Renggan dari SMK Ulu Layar berkata program itu membantu beliau mengenali kecenderungan dan bakat diri, sekali gus membimbing ke arah pilihan kerjaya. Arbygirl Angil dari SMK Saribas pula menyifatkannya sebagai pengalaman berharga kerana bukan sahaja mendapat maklumat pendidikan tetapi juga peluang menambah kenalan baharu.

Edward Ladi dari SMK Datuk Patinggi Kedit pula mengakui ceramah tokoh akademik membuka minda dan memberi motivasi untuk melangkah ke peringkat ijazah manakala Siti Nadirah dari SMK Spaoh menyifatkan program tersebut memberi panduan jelas dalam merancang masa depan dengan yakin.
Karnival ini sekali gus mengangkat aspirasi Parlimen Betong untuk melahirkan generasi muda berpengetahuan, berdisiplin dan berkeyakinan tinggi, selaras dengan visi menjadikan Bahagian Betong terus makmur dan sejahtera melalui pendidikan.
Oleh Norman B.