SARIKEI: Seramai 90 penerima Kenyalang Gold Card (KGC) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok menerima kad masing-masing di Dewan Sri Nyelong, kelmarin.
Penyerahan kad tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Dalam ucapannya, Huang berkata, KGC diberi kepada pemegang kad pengenalan berstatus “K” atau penduduk tetap di Sarawak yang berusia 60 tahun ke atas.
“KGC ini menawarkan diskaun dan rebat ke atas barang keperluan, manfaat lain seperti jahitan dan salun rambut serta tawaran istimewa yang bernilai tinggi.
“Ia merupakan satu berita yang gembira bagi warga emas menikmati kehidupan dan dijaga dengan baik,” katanya.
Jelasnya, ia bukan sekadar kad sebaliknya penghargaan kepada warga emas Bumi Kenyalang dan sumbangan golongan itu dalam merealisasikan kelangsungan pembangunan negeri.
“Oleh itu, kita haruslah berterima kasih kepada Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, kerana memperkenalkan KGC yang berfaedah ini.
“Pelaksanaan program ini nyata bukti langkah bijak kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira usaha mahupun latar belakang.
“Saya mencadangkan agar Jabatan Kebajikan Masyarakat memperbanyakkan penglibatan pasar raya dan premis tertentu bagi membolehkan KGC dapat digunakan secara lebih meluas,” ujarnya.
Tambahnya, pada masa yang sama penerangan lebih lanjut dan terperinci perlu dilakukan supaya lebih warga emas menikmati kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak itu.
“Saya juga menggesa warga emas yang belum memohonnya agar segera mengemukakan permohonan.
“Saya tidak mahu rakyat khususnya di kawasan DUN Repok terlepas menerima kemudahan istimewa yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak ini.
“Kita di peringkat pemimpin dan rakyat, amat menyanjungi dan berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg atas pimpinan beliau dalam memperkasakan pembangunan Sarikei dalam pelbagai aspek,” katanya lagi.
Ujarnya, pelbagai projek yang berimpak tinggi telah diluluskan dan telah dilaksanakan pasti memberi manfaat kepada rakyat Sarikei dalam tempoh jangka panjang.
Oleh Earl Anek