KUCHING: Program Pembangunan Produk: Pembangunan Usahawan Original Equipment Manufacturing (pengeluar produk tulen) (OEM) berasaskan produk kecantikan anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) diadakan pada Sabtu lalu.
Menurut kenyataan MINTRED, program adalah bertujuan membantu usahawan Sarawak untuk menghasilkan produk sendiri menggunakan kilang OEM tanpa mengeluarkan modal yang besar, menjimatkan kos, memberikan pulangan keuntungan yang kompetitif serta mampu bersaing dengan produk sedia ada di pasaran.
“Pelaksanaan program ini cetusan idea Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Datuk Mohd. Naroden Majais, dalam usaha membantu para usahawan Sarawak untuk memiliki produk sendiri dengan mempunyai sijil Halal, Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP), Good Manufacturing Practice (GMP) dan lain-lain pengiktirafan kelayakan oleh Kerajaan yang berkaitan.
“Ini adalah bagi mempelbagai dan mengkomersialkan produk kecantikan berasaskan sumber asli tempatan Sarawak yang kaya dengan khasiat semula jadi,” kata kenyataan.
Kenyataan turut menjelaskan program dilaksanakan menerusi dua peringkat iaitu peringkat pertama yang mana para peserta diberikan taklimat mengenai konsep asas OEM yang bertujuan untuk memilih peserta berminat dan berpotensi dalam membangunkan produk kecantikan yang diusahakan.
“Manakala, peringkat kedua pula mereka yang berminat dan berpotensi akan dibantu untuk menghasil dan mengembangkan produk sehingga ke tahap mendapatkan sijil berkaitan.
“Mereka juga akan dilatih dalam mempromosi dan memasarkan produk mereka selama tiga hingga enam bulan oleh MINTRED dengan kerjasama Mutiara Skincare Manifacturing Sdn. Bhd. yang mempunyai tenaga pengajar berpengalaman, kepakaran serta teknologi terkini dalam menghasilkan produk bermutu tinggi,” jelasnya.
Bagi membantu para usahawan yang berpotensi untuk terus menceburi bidang ini dan keusahawanan lain, MINTRED menyediakan geran menerusi program seperti Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV).
“Selain itu, usahawan boleh memohon skim pinjaman mudah iaitu Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana Sarawak (SPIKS) yang menawarkan jumlah pinjaman maksimum sehingga RM250,000.
“Manakala, Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) menawarkan pinjaman mudah sehingga RM50,000 untuk usahawan B40, mikro dan kecil.
“Kedua-dua pinjaman mudah ini menawarkan moratorium selama enam bulan dan tidak dikenakan faedah (interest free) untuk tempoh 42 bulan (3 tahun setengah),” katanya.
Antara pengisian lain yang diadakan dalam program adalah seperti ceramah mengenai produk kecantikan dan kesihatan OEM jenama sendiri, permohonan pensijilan Kementerian Kesihatan Malaysia & Halal: Cara pemilihan produk dengan meletakkan harga yang betul, permulaan untuk sistem stokis atau agen, demonstrasi produk penjagaan kulit dan lain-lain.
Program berlangsung di Dewan Seminar PUSAKA yang dihadiri 100 peserta ini diharap dapat menimbulkan kesedaran dan minat usahawan mengenai peluang dalam penghasilan produk kecantikan, kesihatan, makanan serta minuman dan sebagainya melalui konsep OEM yang perlu menepati piawaian dan standard yang ditetapkan bagi tujuan pasaran tempatan dan eksport.
Selain itu, peserta juga diyakini mampu bersaing secara sihat dalam mengeluarkan produk kecantikan berkualiti sekali gus dapat memanfaatkan sumber asli Sarawak.