KUCHING: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata poster fitnah terhadap beliau yang menuduh kononnya ‘Bumiputera Akan Mencuri Kalau Tidak Dibantu Kerajaan’ adalah satu bentuk tuduhan yang tidak bijak.
Beliau berkata, ia adalah satu bentuk tuduhan yang tidak bijak kerana sebagai Ahli Parlimen Sarawak dari awal dilatih tidak akan melabel siapa-siapa apatah lagi Bumiputera.
“Kalau orang Sarawak turut terikut-ikut dengan menuduh saya berbuat demikian, itu memang orang Sarawak yang mempunyai niat yang tidak baik.
“Sebagai rakyat Sarawak, kita dah biasa dilabel sebagai negeri yang mempunyai toleransi begitu tinggi sekali sesama kita dan juga dari segi perpaduan dan harmoni itulah Sarawak,” katanya kepada pemberita pada program Makan Malam Santai Bersama Dato’ Sri Nancy Shukri di Rock Road Seafood, di sini, baru-baru ini.
“Kalau kita sebagai orang Sarawak, kita tidak bercakap seperti itu apatah lagi bila saya sendiri seorang Bumiputera dan itu adalah sangat tidak bijak. Bagi saya ia tidak munasabah untuk menuduhkan saya bercakap demikian,” katanya.
Menurut Nancy, ia telah tular sejak 2013 dan sekarang tahun 2020, golongan tidak bertanggungjawab itu memainkan isu ini sekali lagi dan percaya ia bukan hanya dipermainkan oleh orang Sarawak malah orang bukan Sarawak juga.
“Tindakan sedang diadakan kerana kita harus menyiasatnya untuk mengambil tindakan yang tepat dan tegas kerana ia berulang selama bertahun-tahun,” kata beliau.
“Sebenarnya orang yang menuduh itu adalah orang yang mengingini kita untuk berpecah-belah terutamanya apabila pilihan raya semakin dekat. Disebabkan tidak ada banyak isu untuk dimainkan, golongan ini akan menggunakan pelbagai pendekatan untuk menghasut rakyat,” tambahnya.
“Jadi isu-isu sebegini dibawa ke Sarawak untuk memecah-belahkan kaum bumiputera dan membencikan saya sebagai seorang ahli politik.
“Saya memberi jaminan kepada masyarakat Bumiputera yang saya tidak pernah bercakap begitu,” katanya.
Oleh Cheryl Law