

MOHAMAD Duri semasa hadir merasmikan Program Malaysiaku Peringkat Kampung Kupang Hilir Tahun 2025, di sini hari ini. Foto: Pusat Khidmat ADUN Kalaka
SARATOK: Sambutan Hari Malaysia ke-62 hari ini mengangkat tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, yang mencerminkan visi kerajaan untuk membina negara berlandaskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan sosial dan keadilan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata tema itu menzahirkan semangat perpaduan dan patriotisme tinggi rakyat, selain menanam rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air.
“Alhamdulillah, kita menyambut ulang tahun penubuhan Malaysia kali ke-62 sebagai sebuah negara merdeka, berdaulat, demokratik, aman dan makmur,” katanya semasa berucap merasmikan Program Malaysiaku Peringkat Kampung Kupang Hilir Tahun 2025, di sini hari ini.


MOHAMAD Duri semasa hadir merasmikan Program Malaysiaku Peringkat Kampung Kupang Hilir Tahun 2025, di sini hari ini. Foto: Pusat Khidmat ADUN Kalaka
Mohamad Duri menegaskan, Hari Malaysia tidak boleh disamakan dengan Hari Kebangsaan kerana kedua-duanya membawa makna berbeza.
Hari Kebangsaan adalah hari untuk memperingati kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, manakala Hari Malaysia memperingati pengisytiharan Tunku Abdul Rahman pada 16 September 1963 yang membentuk Malaysia bersama Sabah, Sarawak dan Singapura.


MOHAMAD Duri semasa hadir merasmikan Program Malaysiaku Peringkat Kampung Kupang Hilir Tahun 2025, di sini hari ini. Foto: Pusat Khidmat ADUN Kalaka
Menurutnya, rakyat Malaysia, khususnya di Sarawak, harus mensyukuri nikmat kemerdekaan yang membolehkan generasi hari ini menikmati keamanan, kestabilan, pendidikan dan pembangunan.
Mohamad Duri turut menekankan bahawa kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajah, tetapi bermakna rakyat berhak menentukan masa depan sendiri.
Mengulas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau berkata daripada 29 tuntutan Sabah dan Sarawak, sebanyak 13 telah berjaya diselesaikan, termasuk sembilan yang dimuktamadkan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
“Ini bukti bahawa suara Sarawak sentiasa dihormati dalam Malaysia,” katanya.


MOHAMAD Duri semasa hadir merasmikan Program Malaysiaku Peringkat Kampung Kupang Hilir Tahun 2025, di sini hari ini. Foto: Pusat Khidmat ADUN Kalaka
Beliau menggesa rakyat agar tidak leka, sebaliknya terus menanam semangat patriotisme, menyemai perpaduan antara kaum dan agama serta mempertahankan keamanan negara.
“Sarawak kini berada di landasan kukuh menuju negeri maju dan makmur dengan hasil negeri mencecah RM14 bilion. Namun angka ini tidak bermakna tanpa perpaduan rakyat, kestabilan politik dan pemerintahan yang amanah,” tegasnya.
Katanya lagi, hanya dengan kerjasama erat dan integrasi nasional yang utuh, Malaysia akan terus berdiri kukuh dan menempa lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Turut hadir Penghulu Misis Aris, Ketua Kaum Kampung Kupang Hilir, Jepri Johari dan Pemanca Lim Guan Ann.
Oleh Adi Safarman