
SARATOK: Sambutan Hari Malaysia ke-62 hari ini disambut penuh makna sebagai simbol perpaduan, kesejahteraan dan pembangunan rakyat berbilang kaum di seluruh negara.
Ia menjadi detik penghayatan kepada sejarah perjuangan membina sebuah Malaysia yang kukuh dan harmoni.
Tanggal 16 September 1963 kekal terpahat sebagai hari bersejarah apabila Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura bergabung membentuk Malaysia. Ia menandakan bermulanya sebuah perjalanan panjang negara bangsa yang berdaulat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menyifatkan sambutan kali ini cukup istimewa kerana genap 62 tahun usia Malaysia, bersamaan dengan usianya sendiri.
Katanya, ia memberi nilai simbolik yang mendalam terhadap pengorbanan dan usaha generasi terdahulu.
“Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah asas persetujuan pembentukan Malaysia dan amat penting untuk Sarawak kerana ia melindungi hak serta kepentingan negeri,” katanya.
Menurut beliau, MA63 kekal relevan hingga kini sebagai panduan utama dalam memastikan pembangunan negara berlangsung secara seimbang dan adil, khususnya bagi Sarawak dan Sabah.
Mohamad Duri turut mengingatkan tentang detik 2 Julai 1963, apabila Sarawak mencapai kemerdekaan pentadbiran daripada British sebelum menyertai Malaysia.
Peristiwa itu katanya, harus dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah perjuangan negeri ini.
Beliau menggesa rakyat agar terus mengekalkan semangat perpaduan dan menghargai erti sebenar pembentukan Malaysia. Semangat kebersamaan adalah kunci kepada kestabilan dan kemakmuran negara.
“Dengan semangat Malaysia Madani, marilah kita terus bersatu, mempertahankan hak Sarawak, dan sama-sama membangunkan negeri serta negara tercinta ini,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman