Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Gema muhibbah: Alunan merdu sape ikat penyatuan rakyat Malaysia
  • INSPIRASI

Gema muhibbah: Alunan merdu sape ikat penyatuan rakyat Malaysia

Utusan Sarawak 11 hours ago
ANDERSON Kalang, pemuzik yang kini merupakan seorang usahawan berkata sape mula meraih minat, diterima oleh masyarakat Melayu, India dan Cina sebagai sebahagian daripada identiti budaya bersama Malaysia. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Selama berabad-abad alunan merdu sape sentiasa kedengaran bergema di setiap rumah panjang di pinggir sungai di pedalaman Sarawak yang mengiringi sama ada ritual penyembuhan, kesyukuran dan juga ketika penceritaan cerita rakyat.

Sape, alat muzik tradisional Orang Ulu di Sarawak yang berbentuk seperti bot dan dipetik seperti gitar bukan sekadar alat muzik – ia adalah jiwa masyarakat Orang Ulu bagi meraikan sambutan acara penting masyarakat.

ANDERSON berasal daripada suku Kelabit Sarawak bukan sahaja mengajar alat muzik tradisional itu malah turut menjualnya. Foto BERNAMA

Hari ini, alat seperti kecapi tradisional ini telah melangkaui penggunaan tradisinya dan muncul sebagai simbol kebanggaan budaya dan warisan negara.

Anderson Kalang, pemuzik yang kini merupakan seorang usahawan berkata sape mula meraih minat, diterima oleh orang Melayu, India dan Cina sebagai sebahagian daripada identiti budaya bersama Malaysia.

Kalang yang berasal daripada suku Kelabit Sarawak bukan sahaja mengajar alat muzik tradisional itu malah turut menjualnya.

Pengasas bersama Sape’Star KL (Sape’ HUB) berkata ketika beliau bersama rakan kongsi perniagaannya, Saufi Aiman ​​Yahya, memulakan akademi tersebut mereka mendapati sape bukan sahaja dihargai oleh masyarakat Borneo tetapi juga oleh orang Melayu, Cina dan India dari semenanjung.

“Sekarang ini, mereka yang membeli dan bermain sape tidak lagi terhad kepada Orang Ulu. Saya mempunyai pelajar Cina, India dan Melayu yang tinggal di semenanjung,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kalang, yang memulakan kerjaya artistiknya sebagai pemain gitar dan penari sebelum menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan sape berkata kepelbagaian pelajarnya menarik perhatian beliau.

SELAMA berabad-abad alunan merdu sape sentiasa kedengaran bergema di setiap rumah panjang di pinggir sungai di pedalaman Sarawak yang mengiringi sama ada ritual penyembuhan, kesyukuran dan juga ketika penceritaan cerita rakyat. Foto BERNAMA

“Kebanyakan pelajar saya adalah daripada golongan wanita yang rata-ratanya tidak mempunyai latar belakang muzik secara formal, namun mampu belajar (sape) dengan lebih cepat berbanding pemain gitar terlatih,” katanya.

Permintaan dan Penawaran

Kalang, yang turut menjual sape di kedai The Guitar Store di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, berkata permintaan terhadap instrumen itu kini melebihi penawaran.

“Dalam setahun, kira-kira 120 unit boleh dijual,” katanya sambil menambah permintaan tinggi datang dari Malaysia dan Indonesia, dengan alat muzik itu dijual pada harga antara RM500 hingga RM2,000, bergantung kepada saiz.

SAPE, alat muzik tradisional Orang Ulu di Sarawak yang berbentuk seperti bot dan dipetik seperti gitar bukan sekadar alat muzik – ia adalah jiwa masyarakat Orang Ulu bagi meraikan sambutan acara penting masyarakat. Foto BERNAMA

Namun, katanya, cabaran yang dihadapi sekarang adalah kebanyakan pembuat sape menganggapnya sebagai perniagaan sampingan selain masalah kekurangan bahan mentah.

“Pembuat sape hanya akan membuatnya sekiranya mereka mempunyai stok kayu, jadi keadaan ini telah melambatkan proses, dan jika tidak ada pesanan atau jika berlaku kelewatan dalam pembuatan sape, pembuat dan pembeli tidak akan bermotivasi,” katanya.

Cabaran juga datang dari Sarawak sendiri kerana kebanyakan pembuat sape di negeri itu turut bergelut untuk memenuhi permintaan dalam negeri itu sendiri.

“Terdapat satu tempoh apabila pembuat sape pun tidak dapat menampung permintaan jadi jumlah bekalan yang mereka boleh bekalkan hanya mencukupi untuk pasaran di Sarawak. Jadi, sukar bagi mereka untuk menghantar ke semenanjung,” katanya.

Menurutnya, pada masa kini, ramai orang Sarawak menghantar anak mereka ke kelas belajar sape dan tarian tradisional, yang sekali gus meningkatkan permintaan terhadap alat muzik itu.

Kalang berkata beliau dan Saufi sudah lama mengimpikan untuk memperkenalkan instrumen itu ke sekolah-sekolah, malah mungkin dijadikan sebagai sebahagian daripada kurikulum kebangsaan.

“Usaha itu akan membolehkan kanak-kanak Malaysia dari segenap lapisan masyarakat dapat mengenali dan mempelajari sape sebagai warisan bersama,” katanya.

Beliau berkata berkata walaupun mungkin agak mencabar untuk diterapkan di sekolah biasa, namun mereka ada mendapat pertanyaan daripada sekolah swasta antarabangsa.

Melodi Penyatuan Malaysia

Menurutnya, penerimaan terhadap sape di Semenanjung Malaysia membawa maksud yang lebih mendalam iaitu rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau latar belakang, semakin menerima warisan Sarawak sebagai milik bersama negara.

Bagi Kalang, setiap alunan sape yang dimainkan akan mengingatkan beliau bahawa instrumen tradisional rumah panjang di Borneo itu kini menjadi milik semua rakyat Malaysia.

“Ia bukan sekadar untuk mengekalkan legasi. Ia adalah untuk memastikan sape mempunyai masa depan dan masa depan itu adalah untuk dikongsi setiap rakyat Malaysia,” katanya. – Bernama

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Veteran TUDM kenang khidmat bersama helikopter nuri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.