
PERSEKITARAN adalah akademi kehidupan yang paling luas. Kita sering mengaitkan belajar melalui buku, kuliah, guru dan pengalaman. Namun, hakikatnya kehidupan sekeliling kita adalah guru yang paling setia.
Sejak kita membuka mata di dunia ini, persekitaran sudah mengajar kita tentang warna, bunyi, rasa dan pengalaman yang membentuk siapa diri kita. Andai kita mampu memerhati dengan mata hati, kita akan menyedari bahawa setiap detik yang berlaku di persekitaran kita adalah hikmah untuk dipelajari.

Dalam usaha membina insan yang matang, berilmu dan bijaksana, kita mesti B.E.L.A.J.A.R dari persekitaran. Akronim ini akan menjadi panduan untuk kita memahami betapa luasnya pengajaran yang Allah SWT hamparkan melalui alam, masyarakat dan pengalaman harian kita.
Ia turut membuka pancaindera kita untuk mudah mengenali persekitaran hidup ini.
B – Buka Pancaindera Untuk Mengenali Persekitaran Hidup
Nikmat pancaindera adalah anugerah Ilahi yang tidak ternilai. Melalui mata, telinga, hidung, lidah dan sentuhan, kita akan mengenal dunia. Mata memberi kita panorama alam, telinga menyampaikan bunyi kehidupan, lidah dan hidung merasai nikmat makanan, manakala sentuhan membawa kehangatan kasih sayang.
Belajar dari persekitaran menuntut kita mengaktifkan pancaindera dengan penuh kesedaran. Contohnya, apabila kita melihat hujan yang turun, ia bukan sekadar titisan air, tetapi tanda rahmat dan kitaran rezeki.
Apabila kita mendengar suara burung di pagi hari, itu mengingatkan kita tentang kehidupan yang sentiasa bertasbih memuji Pencipta. Dengan membuka pancaindera, kita tidak lagi melihat hidup secara biasa tetapi sebaliknya menghargai setiap detik yang berlaku di sekitar. Inilah yang dapat kita ertikan kasih sayang sebagai panduan mengenali hidup ini.
E – Erti Kasih Sayang Sebagai Panduan Mengendali Hidup Ini
Persekitaran sosial kita penuh dengan hubungan sesama manusia. Dari keluarga, jiran, rakan sekerja hingga masyarakat, semua membentuk ekosistem yang mengajar kita tentang kasih dan harmoni. Apabila kita menghargai kasih sayang yang lahir daripada ibu bapa, guru dan sahabat, kita akan belajar bagaimana mengendalikan kehidupan dengan tenang dan seimbang. Kasih sayang juga mendidik kita tentang empati.
Melihat penderitaan orang lain menjadikan kita lebih prihatin. Menghargai jasa mereka yang pernah menolong kita menjadikan kita insan yang tahu berterima kasih.
Semua ini tidak dipelajari daripada buku semata-mata, tetapi daripada persekitaran yang kita alami setiap hari yang memungkinkan kita dalam keadaan aman dan damai.
L – Lafazkan Terima Kasih Atas Persekitaran Yang Aman Dan Damai
Tidak semua tempat di dunia dikurniakan keamanan. Ada kawasan dilanda peperangan, bencana alam dan kekacauan. Jika kita masih hidup dalam suasana aman dan damai, itu adalah nikmat besar yang perlu disyukuri.
Persekitaran yang tenang memungkinkan kita belajar, bekerja, beribadah dan membina keluarga dengan tenteram. Justeru, mengucapkan syukur dan terima kasih atas nikmat keamanan ini harus menjadi budaya hidup.
Kita juga mesti berusaha menjaga keharmonian dengan menghormati kepelbagaian, mengawal emosi, dan mengelakkan konflik yang boleh merosakkan suasana damai. Oleh sebab itu, antara pelbagai peringkat generasi kita hendaklah saling bersyukur dan sentiasa memakmurkan persekitaran hidup ini.
A – Antara Generasi, Kita Saling Bersyukur Dan Memakmurkan Persekitaran”
Persekitaran bukan milik satu generasi sahaja, tetapi warisan yang dipinjam dari generasi terdahulu untuk diserahkan kepada generasi akan datang. Jika kita tidak menghargai dan memelihara persekitaran, maka generasi masa depan akan menanggung akibatnya.
Di sinilah datangnya konsep ‘intergenerational responsibility’ – tanggungjawab bersama antara pelbagai lapisan umur. Golongan muda perlu belajar daripada pengalaman orang tua, manakala orang tua harus menghargai idea segar anak muda.
Apabila dua generasi ini bersyukur dan bekerjasama, persekitaran bukan sahaja terpelihara tetapi juga dimakmurkan. Kita juga akan mampu berusaha menjangka kebarangkalian cabaran persekitaran masa depan.
J – Jangka Keberangkalian Cabaran Persekitaran Masa Depan
Dunia sentiasa berubah. Persekitaran hari ini mungkin baik, tetapi esok tidak mustahil dilanda cabaran besar. Perubahan iklim, teknologi baharu, pergolakan sosial, malah wabak penyakit semuanya adalah cabaran persekitaran. Belajar dari persekitaran bermakna kita mesti bersedia menghadapi segala kemungkinan.
Kesiapsiagaan ini bukan sekadar fizikal, tetapi juga mental dan spiritual. Kita perlu membina ketahanan diri (resilience) supaya tidak mudah goyah apabila diuji. Apabila cabaran datang, kita bukan sahaja mampu bertahan, malah mampu menyesuaikan diri dan terus melangkah maju. Inilah sikap positif yang perlu kita semaikan dalam setiap suasana.
A – Amalkan Sikap Positif Dalam Setiap Suasana
Persekitaran kadang-kadang tidak seindah yang kita harapkan. Ada hari yang mendung, ada masa yang penuh ujian. Namun, cara kita bertindak balas menentukan sama ada kita menjadi lebih kuat atau lemah.
Dengan mengamalkan sikap positif, kita belajar melihat cahaya walau dalam kegelapan. Kita melihat peluang walau dalam cabaran. Persekitaran yang penuh cabaran boleh melahirkan insan yang kental, manakala suasana yang penuh dengan kasih sayang boleh melahirkan insan penyayang.
Semuanya bergantung pada sikap kita terhadap persekitaran itu. Inilah dikatakan refleksi diri melalui cermin persekitaran.
R – Refleksi Diri Melalui Cermin Persekitaran
Akhir sekali, persekitaran adalah cermin kepada diri kita sendiri. Cara kita berinteraksi dengan persekitaran mencerminkan nilai yang ada dalam jiwa. Jika kita merosakkan alam, itu tanda kurangnya kesedaran.
Jika kita menjaga kebersihan, itu tanda kita menghargai kehidupan. Refleksi diri menjadikan kita lebih berhati-hati dalam memilih tindakan. Apabila kita melihat persekitaran rosak akibat kerakusan manusia, kita belajar agar tidak mengulangi kesilapan sama. Sebaliknya, apabila kita melihat persekitaran terpelihara, kita belajar bahawa usaha kecil seperti menanam pokok atau menjaga sungai boleh memberi kesan besar untuk masa depan.
“Belajar Dari Persekitaran” bukanlah satu pilihan, tetapi satu keperluan. Alam dan masyarakat sekeliling adalah madrasah terbuka yang sentiasa memberi pengajaran tanpa jemu. Dengan akronim BELAJAR, kita menyedari bahawa hidup ini bukan sekadar pengalaman individu, tetapi juga interaksi dengan persekitaran yang lebih luas.
Semoga kita semua menjadi insan yang sentiasa membuka mata, hati dan minda untuk menghargai, mensyukuri dan memelihara persekitaran. Hal ini kerana, persekitaran yang baik akan melahirkan insan yang baik dan insan yang baik akan terus memakmurkan persekitaran untuk generasi akan datang.
Wallahu ‘alam Bissawab