Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Hari Malaysia 2025: 10,000 pengunjung dijangka gegar PICCA@Arena Butterworth
  • NASIONAL

Hari Malaysia 2025: 10,000 pengunjung dijangka gegar PICCA@Arena Butterworth

Utusan Sarawak 7 hours ago

Ratu rock negara, Ella antara yang akan tampil memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, hari ini. - Foto BERNAMA

BUTTERWORTH: Kira-kira 10,000 pengunjung dijangka membanjiri Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini, hari ini bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2025, yang bakal berlangsung dalam suasana penuh semangat patriotisme.

Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, acara berkenaan menghimpunkan rakyat pelbagai latar belakang dari seluruh negara, khususnya dari kawasan utara bagi meraikan kepelbagaian budaya dan semangat kebersamaan yang menjadi tunjang kekuatan negara.

Sambutan akan bermula seawal 9 pagi ini dengan Pameran Hari Malaysia 2025 ‘Menelusuri Zaman’ melibatkan pelbagai agensi iaitu Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang yang menampilkan pameran sejarah Malaysia manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kempen Internet Selamat.

Selain itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan pameran peralatan antik siaran RTM Pulau Pinang serta set cuba bakat DJ dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pula akan mempamerkan foto sempena sambutan Hari Malaysia.

Bukan itu sahaja, orang ramai juga berpeluang menyertai demonstrasi penyediaan makanan tradisional seperti ubi kayu, ikan masin dan kuih tradisional, selain menikmati pameran pakaian dan peralatan warisan serta pertandingan mewarna keluarga.

Kemudiannya, acara kemuncak persembahan akan bermula kira-kira 8.30 malam dengan persembahan pembukaan karya baharu berjudul Rentak Tradisi Pulau Mutiara, yang mengetengahkan keunikan budaya Pulau Pinang melalui gabungan tiga seni tradisi ikonik iaitu Joget Joghee, Opera Cina Pulau Pinang dan Boria Pulau Pinang.

Sambutan turut menyaksikan acara menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hari Malaysia 2025 akan dimeriahkan dengan persembahan khas berdurasi 30 minit yang menggabungkan muzik dan tarian, menampilkan Ratu Rock negara Ella bersama Suki Low, Roshini Balachandran serta artis dari Sabah dan Sarawak iaitu Dabra Sia dan Rezza Shah.

Semua persembahan akan diiringi Orkestra Tradisional Malaysia dari Istana Budaya, yang menggabungkan alat muzik pelbagai etnik sebagai simbol perpaduan Malaysia.

Sambutan berkenaan akan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow selaku tuan rumah bersama barisan jemaah menteri.– BERNAMA

Continue Reading

Previous: Agong, Permaisuri zahir ucapan Selamat Hari Malaysia
Next: TPM Fadillah ketuai delegasi ke China bermula hari ini hingga 23 September

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.