Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Fenomena cuaca ekstrem, bencana banjir dan tanah runtuh di Sabah
  • RENCANA

Fenomena cuaca ekstrem, bencana banjir dan tanah runtuh di Sabah

Utusan Sarawak 17 hours ago

DALAM artikel pada beberapa siri lalu, saya berkongsi tentang kefahaman mengenai perubahan iklim dan impaknya kepada alam sekitar dan aspek kehidupan manusia. 

Atas nama kesibukan tugas, saya belum mempunyai kesempatan menulis artikel lanjutan mengenai isu perubahan iklim ini sejak 3, 4 minggu lalu. 

Dalam kejadian pada 9.15 pagi semalam, tujuh mangsa maut termasuk empat kanak-kanak selepas tertimbus tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong manakala empat lelaki terselamat dalam kejadian itu. Foto Bernama.

Bagaimanapun, saya terpanggil untuk menghasilkan tulisan ini berkongsi penjelasan mengenai fenomena cuaca ekstrem dan bencana banjir, tanah runtuh di Sabah, yang juga menyebabkan kerosakan kepada sistem grid pengagihan tenaga elektrik dan menyebabkan kawasan di pantai timur Sabah mengalami gangguan bekalan elektrik yang serius. 

Malah, dalam laporan akhbar semalam (15/9/2025), kerajaan negeri Sabah telah membatalkan acara sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada malam ini (16/9/2025) bagi menumpukan usaha dan sumber untuk menangani kegawatan bencana di negeri Sabah, terutama di bahagian pantai barat.

SEMBILAN individu maut dalam dua kejadian tanah runtuh di Kota Kinabalu dan Papar pagi ini, susulan hujan lebat berterusan sejak malam kelmarin. Foto Bernama.

Simpati saya kepada penduduk dan keluarga yang terkesan oleh bencana ini. 

Apakah penjelasan kepada fenomena yang dialami kini? Adakah kawasan di Sarawak, di Semenanjung Malaysia akan mengalami cuaca yang sama pada masa terdekat ini?

Pertama, setiap kali hujan ekstrem berlaku di sesuatu kawasan, bermakna kandungan kelembapan di udara adalah tinggi dan berlebihan yang akan menjadi bahan utama kepada pembentukan hujan. 

Tetapi ini juga bergantung kepada keadaan peredaran atmosfera dan proses-proses yang mempengaruhi peredaran ini yang mempunyai pelbagai skala reruang dan skala masa berbeza, ada yang berskala harian, musiman dan antara tahun.

Mengikut kitaran musim, kita berada pada musim perantaraan atau peralihan monsun yang berlaku pada April – Mei dan juga September – Oktober. 

Ciri utama musim peralihan monsun ini adalah corak angin yang lemah dan dengan arah yang tidak menentu berbanding dengan musim monsun barat daya atau monsun timur laut. 

Dengan keadaan angin yang lemah, mekansime perubahan sekala harian atau diurnal akan menjadi dominan. Mekanisme tiupan angin bayu laut dan bayu darat akan berperanan lebih dominan, yang menyumbang kepada penumpuan kelembapan dan hujan sama ada di bahagian laut atau di bahagian daratan. 

Keadaan mungkin lebih teruk jika wujud satu corak peredaran atmosfera yang dipanggil Pusaran Borneo yang boleh meningkatkan penumpuan kelemapatan di daratan jika berada pada posisi sesuai.

Tetapi semua ini mungkin tidak menjadi menjana hujan ekstrem seperti yang berlaku di Sabah sekiranya jumlah kelembapan di udara berada pada tahap biasa atau normal.

Mengapa kelembapan udara tinggi pada ketika ini? Dua perkara utama menyumbang kepada kedaan ini.

Pertama, keadaan di Lautan Pasifik pada ketika ini menghampiri keadaan La Nina, iaitu fenomena iklim yang dikaitkan dengan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik lebih rendah atau sejuk berbanding dengan suhu normal.

Apa kaitan turun naik suhu permukaan laut di Lautan Pasifik, yang jauh dengan kawasan kita, dengan cuaca ekstrem di kawasan kita? Bagaimana ini boleh berlaku?

Penjelasannya adalah, pada skala global, peredaran atmosfera di kawasan tropika di modulasi oleh Peredaran Walker atau Walker Circulation, mengambil sempena nama seorang ahli meteorologi terkemuka Sir Gilber Walker yang menemui dan memahami fenomena ini. 

Peredaran atmosfera ini pada keadaan normal dicirikan oleh tiupan angin timuran di bahagian aras bawah atmosfera dari Lautan Pasifik ke kawasan Asia Tenggara termasuk kawasan Borneo. 

Begitu juga di Lautan Hindi, corak tiupan adalah menuju ke kawasan Malaysia dan Indonesia menjadikan kawasan kita sebagai penumpuan kelembapan, menjana keadaan litupan awan yang tinggi secara normalnya.

Bagaimanapun sekiranya suhu permukaan laut di LautanPasifik menjadi lebih rendah berbanding normal, kekuatan angin timuran meningkat dan ini meningkatkan angkutan kelembapan ke kawasan Malaysia dan Indonesia, dan menjadikan keadaan atmosfera tidak stabil, meningkatakan kebarangkalian kepada cuaca ekstrem, memberi ruang kepada mekansime tempatan bayu laut, bayu darat dan pusaran Borneo menjadi lebih dominan dalam mencorakan keadaan cuaca terutamanya di Sabah dan Sarawak pada ketika ini.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat, keadaan suhu permukaan laut di Lautan Pasifik menghampiri keadaan La Nina sejak awal Sepetmber (lihat gambar rajah di atas) dan kebarangkaian berlakunya fenomena pada Oktober-November-Disember 2025 adalah melebih 70 peratus.

Bermakna, bulan-bulan akan datang termasuk apabila musim monsun timur laut bermula pada pertengahan November, kawasan kita mempunyai kandungan kelembapan udara tinggi yang boleh meningkatkan kebarangakian cuaca ekstrem sepanjang musim peralihan monsun ini dan lebih-lebih lagi apabila kita melangkau ke musim monsun timur laut nanti. 

Faktor kedua adalah pemanasan global dan perubahan iklim akibat peningakatn gas-gas rumah hijau. Peningkatan gas-gas rumah hijau memerangkap haba menyebabkan pemanasan global. 

Pemanasan global ini meningkatkan keupayaan atmosfera menyimpan kandungan kelembapan dan secara tidak langsung meningkatkan kekerapan dan intensiti hujan ekstrem.

Ini bermakna fenomena cuaca ekstrem di Sabah ketika ini boleh dipengaruhi oleh kedaan yang menghampiri keadaan La Nina di Lautan Pasifik ditambah lagi oleh pemanasan global yang boleh meningkatkan keupayaan udara menyimpan kelembapan.

Keadaan ini akan berterusan dalam beberapa bulan akan datang termasuk berkemungkinan musim monsun timur laut akan menjadi lebih aktif. 

Kawasan di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak berisiko tinggi mengalami hujan ekstrem, bencana banjir dan tanah runtuh. 

Situasi ini mungkin lebih teruk jika keadaan saliran dan perparitan tidak terurus untuk menampung kadar curahan hujan yang dijangka meningkat disebabkan pengaruh La Nina dan juga pemanasan global.

Kita sebagai rakyat marhaen berharap pihak pemerintah mengambil langkah-langkah awal dalam menangani impak bencana akibat cuaca ekstrem yang berkemungkinan melanda.

Prof Dr. Fredolin Tangang adalah seorang ahli klimatologi, bekas professor di UKM, felo Akademi Sains Malaysia dan kini bertugas di Universiti Brunei Darussalam. Beliau juga bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 Panel PerubahanIklim Antara-Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Continue Reading

Previous: Tragedi lemas peserta regata buka mata masyarakat tentang aspek keselamatan
Next: Belajar dari persekitaran

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.