
BINTULU: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi malam ini telah menghadiri Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Malaysia 2025 Peringkat Sarawak yang berlangsung di Masjid Assyakirin, di sini.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah pada 6.25 petang tadi telah disambut oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Razi Sitam, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha, Ketua Hakim Syarie Datu Awang Suhaili Ledi, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Tuan Mual Haji Suaud, ADUN Jepak Iskandar Turkee, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Majlis dimulakan dengan solat fardu Maghrib secara berjemaah, diikuti bacaan Surah Yaasin yang dipimpin oleh Imam Besar Sarawak Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Majlis turut diserikan dengan persembahan Zikir Marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Bintulu, sebelum diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran yang turut dipimpin oleh Imam Besar Sarawak.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah kemudiannya turut menunaikan solat fardu Isyak secara berjemaah.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Haji Mohd Awang Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan-timbalan Menteri, Tan Sri Bustari Yusuf serta pasangan masing-masing dan para kenamaan lain.
Majlis diteruskan dengan jamuan makan malam di mana Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut beramah mesra bersama para jemputan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama termasuk Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie, Datin Sri Melia Gelen serta Setiausaha-setiausaha Politik.
Majlis Kesyukuran ini menjadi wadah penting dalam memperkukuhkan keharmonian antara kaum dan agama, serta menyemarakkan semangat perpaduan rakyat Sarawak dalam kerangka Malaysia Madani.