Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Saintis bimbang status terumbu karang negara, syor pewartaan 24 kawasan marin
  • NASIONAL

Saintis bimbang status terumbu karang negara, syor pewartaan 24 kawasan marin

Utusan Sarawak 11 hours ago
PERSATUAN Sains Lautan Malaysia melalui rangka kerja Malaysia Important Marine Conservation Areas (MyIMCA) mengesyorkan 24 kawasan marin di seluruh negara untuk diuruskan dan diwartakan. Foto Bernama (Gambar fail)

JOHOR BAHRU: Persatuan Persatuan Sains Lautan Malaysia melalui rangka kerja Malaysia Important Marine Conservation Areas (MyIMCA) mengesyorkan 24 kawasan marin di seluruh negara untuk diuruskan dan diwartakan.

Presiden MSMS Affendi Yang Amri berkata empat kawasan, iaitu Pulau Jarak-Segari di Selat Melaka; Kuantan-Pekan di Pantai Timur Semenanjung; Beting Patinggi Ali dan Miri-Sibuti di perairan Sarawak; serta Kepulauan Layang-Layang di Sabah, dikenal pasti sebagai paling kritikal.

“Lokasi-lokasi berkenaan menempatkan ekosistem unik seperti terumbu karang, paya bakau, penyu, ikan pari, ikan lumba-lumba, ikan paus, kuda laut dan ikan yu hammerhead yang amat memerlukan perlindungan segera,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Beliau yang juga pakar terumbu karang berkata syor itu susulan kebimbangan saintis terhadap status konservasi marin negara, dengan kurang 50 peratus daripada kira-kira 4,000 kilometer persegi terumbu karang Malaysia dipetakan secara terperinci setakat ini.

Pada masa ini, hanya sebahagian kecil kawasan telah diwartakan, antaranya Pulau Payar di Kedah serta beberapa pulau kecil di Melaka dan Negeri Sembilan, jumlah itu dianggap terlalu kecil bagi menjamin kelestarian biodiversiti marin negara.

“Masih banyak kawasan yang belum diteroka, terutamanya di Selat Melaka, terumbu tenggelam di Kuantan dan perairan Laut China Selatan. Pewartaan kawasan ini amat penting untuk menjamin daya tahan ekosistem menghadapi perubahan iklim global,” katanya.

Affendi yang juga pegawai penyelidik di Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES) Universiti Malaya berkata terumbu karang di Selat Melaka dipercayai mempunyai daya tahan tinggi terhadap kelunturan karang  dan berpotensi menjadi “refugia” global yang penting dalam menghadapi fenomena perubahan iklim.

Pemetaan terumbu karang di Malaysia kini menggunakan teknologi satelit, dron, sonar kapal, dron bawah air serta kaedah penyelaman skuba untuk mengukur kepelbagaian spesies. Kaedah fotogrametri turut diaplikasikan bagi menghasilkan peta 3D yang lebih terperinci.

Bagaimanapun, usaha itu berdepan cabaran termasuk keadaan air keruh di Selat Melaka, kedalaman laut di Laut China Selatan, kekurangan tenaga pakar, serta kos logistik dan peralatan yang tinggi.

Sehubungan dengan itu, persatuan menggesa kerajaan menyalurkan dana khusus untuk kerja-kerja pemetaan marin, meningkatkan latihan penyelidik tempatan serta memperkukuh kerjasama dengan institusi penyelidikan antarabangsa.

-BERNAMA

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Anwar berlepas ke Doha malam ini, hadiri Sidang Kemuncak Tergempar OIC
Next: Agong, Permaisuri zahir ucapan Selamat Hari Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.