
KAPIT: Sebanyak RM704,750 diagihkan kepada 64 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta persatuan di Daerah Kapit sempena Majlis Penyerahan Cek dan Insentif Pelajar yang disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini.
Beliau menegaskan setiap bantuan yang disalurkan perlu diuruskan dengan tatakelola yang baik agar sampai kepada golongan sasaran dan digunakan secara berhemah.
“Proses pemberian bantuan mestilah telus. Walaupun jumlahnya kecil, ia tidak semestinya diagih sama rata. Sebaiknya ia diurus dengan berhemah termasuk sebahagian disimpan dalam akaun JKKK, dan segala penggunaan perlu dilaporkan serta dipantau oleh pihak Majlis Daerah,” katanya.

Beliau menegaskan bantuan kerajaan bukanlah bersifat bermusim, sebaliknya merupakan usaha berterusan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat terutama di kawasan luar bandar.
Selain itu, seramai 94 pelajar yang melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) turut menerima insentif RM500 seorang dengan jumlah keseluruhan bantuan berjumlah RM47,000.
Mengenai pembangunan di Kapit, Nanta berkata beberapa projek utama sedang dan akan dilaksanakan termasuk pembinaan Kolej Profesional Mara, Balai Polis Kapit, jambatan menyeberangi Sungai Batang Rajang berhampiran Nanga Yong, serta jalan dari Nanga Semaram ke seberang Nanga Yong.
Selain itu, katanya, projek lain turut dirancang antaranya pembinaan hotel, pembangunan semula kawasan lapangan terbang lama, sekolah baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Goram dan pembinaan Dataran Bujang Berani.
Sehubungan itu, beliau berharap penduduk setempat dan pemilik tanah memberi kerjasama penuh serta tidak menghalang pelaksanaan projek kerajaan demi memastikan pembangunan berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.
Oleh Tarani Lanting