
Amorim masih mendapat sokongan penuh hierarki kelab. Foto AFP
MANCHESTER, England: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menegaskan beliau tidak akan mengubah formasi mahupun taktikal biarpun mengakui sedang ‘menderita’ lebih daripada penyokong selepas kekalahan 0-3 pada aksi musuh tetangga menentang Manchester City, lewat malam tadi.
The Red Devils hanya mengutip empat mata daripada empat perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selain tersingkir daripada Piala Liga di tangan kelab divisyen empat, Grimsby.
Sejak mengambil alih pasukan pada November lalu, United hanya menang lapan daripada 31 aksi liga, menamatkan musim lalu di tangga ke-15.

Namun Amorim jelas kurang senang apabila ditanya sama ada beliau perlu menilai semula sistem formasi kegemarannya 3-4-3.
“Saya faham dan saya terima. Ia memang rekod yang tidak sepatutnya ada bagi Manchester United,” kata pengendali dari Portugal itu.
“Saya tidak akan berubah. Bila saya mahu ubah falsafah saya, barulah saya akan ubah. Jika tidak, anda kena ubah pemain. Saya main dengan cara saya dan akan terus main begitu sampai bila saya sendiri mahu berubah.”
Bekas pengendali Sporting Lisbon itu setakat ini masih mendapat sokongan penuh hierarki kelab.
Namun selepas disokong dengan pelaburan £200 juta (RM1.14 bilion) bagi membentuk jentera serangan baharu, masa kian suntuk buat pengendali berusia 40 tahun itu membuahkan hasil di tengah padang.
United sekadar menjaringkan empat gol dalam EPL setakat ini – dua daripadanya gol sendiri lawan, manakala satu lagi hasil sepakan penalti.
Dalam kalangan pemain baharu, Matheus Cunha diketepikan akibat kecederaan ketika bertemu City, sementara penyerang bernilai £74 juta (RM421 juta), Benjamin Sesko gagal menyerlah pada penampilan sulungnya.
“Pesanan saya, saya akan berikan segala-galanya. Saya akan lakukan apa saja, sentiasa fikirkan yang terbaik untuk kelab,” kata Amorim mengenai masa depannya.
“Selagi saya di sini, saya akan beri yang terbaik. Saya terlalu ingin menang. Saya menderita lebih daripada mereka (penyokong).” – AFP