
BELADIN: Tragedi lemas yang meragut nyawa seorang peserta regata di Beladin baru-baru ini kembali membuka mata masyarakat mengenai aspek keselamatan dalam penganjuran sukan air.
Insiden pada petang Jumaat lalu, di mana seorang lelaki berusia 32 tahun lemas selepas perahu yang dinaikinya karam ketika menyertai Karnival Beting Maro di Sungai Batang Saribas, sekali lagi mengundang persoalan sejauh mana penganjur mengambil serius soal pemakaian jaket keselamatan?
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Betong, DSP Rejali Angong mengesahkan kejadian tersebut berlaku sekitar 3.50 petang, manakala laporan rasmi telah diterima oleh Balai Polis Beladin.
Di media sosial, isu ini menjadi perbincangan hangat. Sehingga kini, hantaran dalam laman rasmi Facebook Utusan Sarawak mengenai tragedi tersebut telah menerima lebih 3,300 tanda suka, 330 perkongsian dan 330 komen, kebanyakannya menuntut agar pihak berkuasa mengetatkan syarat keselamatan terutama pemakaian jaket keselamatan.

Netizen Suarakan Kebimbangan
Seorang pengguna Facebook, Wan Zabidii, menegaskan keperluan mewajibkan jaket keselamatan sepanjang latihan dan perlumbaan:
“Mun pande berenang pun, jaguh olimpik ka, jaguh sukma ka, susah nak berenang mun mata udah kenak aik masin, tertelan air, lagik kena arus kuat. Udah juak badan penat berkayuh, pasya terpaksa berenang gik nyelamat dirik… apa-apa pun penganjur perlu bertanggungjawab. Nyawa peserta lebih utama.”
Sementara itu, Sorizan Bujang pula mengingatkan tentang faktor luar seperti arus deras dan kapal lain yang berlabuh:
“Penganjur patut kaji keberangkalian sungai, arus air, kapal pukat yang parking. Nang bahaya sungei ya arus deras. Harap akan datang pihak penganjur lebih alert dan bijak.”
Bagi Farhan Simon Soon, aspek penguatkuasaan perlu tegas:
“Saya cadangkan jaket keselamatan diwajibkan walaupun peserta pandai berenang. Kalau pasukan sik sediakan jaket keselamatan, batalkan penyertaan.”
Namun, ada juga yang mengkritik penganjuran regata yang terlalu kerap. Hatta Morshidi berpendapat, “Sik payah nak molah regatta di merata-rata tempat terutama musim tengkujuh. Bahaya. Regatta Sarawak dah cukup.”
Pandangan sama dikongsi Selendang Putih, yang menekankan faktor paras air sungai:
“Kalau nak molah regatta, pilih masa air rendah dan arus perlahan. Mun waktu air tinggi, arus deras dan bahaya. Yang penting, wajib guna jaket sekurang-kurangnya kita terapung walaupun sik pandai berenang.”
Nyawa Tidak Boleh Ditukar
Acara lumba perahu atau lebih dikenali ‘Regata’ memang sinonim dengan masyarakat Sarawak, malah menjadi acara tahunan yang meriah dan mengangkat budaya setempat.
Namun, sejarah juga membuktikan bahawa insiden karam bukan sesuatu yang asing, sama ada ketika perlumbaan atau sesi latihan.
Hakikatnya, kebanyakan peserta mampu berenang, malah ada yang dilatih teknik menyelamatkan diri.
Namun, itu tidak cukup. Keletihan, arus deras, panik dan faktor cuaca boleh menjadikan seorang perenang mahir sekalipun tidak berdaya di air terbuka.
Jaket keselamatan bukan sahaja memberi peluang peserta terapung lebih lama, malah memudahkan pasukan penyelamat menjalankan operasi.
Masa Untuk Tindakan Tegas
Maka, suara netizen yang mendesak supaya pemakaian jaket keselamatan diwajibkan dalam semua pertandingan dan latihan regata wajar diberi perhatian serius.
Kerajaan negeri, persatuan sukan air, dan pihak penganjur perlu menetapkan garis panduan keselamatan yang ketat, termasuk syarat automatik, tiada jaket, tiada penyertaan.
Nyawa peserta lebih berharga daripada sekadar sebuah kejuaraan.
Oleh Adi Safarman