KUANTAN: Enam lelaki termasuk seorang warga Myanmar ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melombong emas di Hutan Simpan Kekal Tersang, Sungai Kepayang di Batu Talam, Raub, semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Supt Kama Azural Mohamed berkata, kegiatan mereka yang berusia antara 20 dan 56 tahun itu terbongkar berdasarkan maklumat daripada pegawai penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian Pahang yang membuat pemeriksaan di lokasi kejadian.
“Semasa serbuan dilakukan, semua suspek sedang sibuk melombong emas dan mereka dipercayai sudah melakukan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu berdasarkan kepada penemuan pondok yang dijadikan tempat berehat berhampiran lombong.
“Semua suspek juga gagal memberikan alasan yang munasabah mengenai keberadaan mereka dalam hutan simpan itu walaupun mengakui tahu akan pelaksanaan PKP untuk membendung penularan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan media, di sini semalam.
Kama Azural berkata, mereka yang berasal dari Pahang, Perak dan Kuala Lumpur dipercayai menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk ke lombong yang terletak kira-kira lima kilometer dari jalan besar.
Kesemua mereka direman mulai semalam hingga Isnin.
Beliau berkata, rakyat Myanmar berusia 36 tahun itu turut disiasat atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan manakala lelaki berusia 53 tahun yang dipercayai ‘ketua kumpulan’ juga berdepan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana mengupah warga asing tanpa permit kerja yang sah. – BERNAMA