DALAT: Usahawan wanita tempatan dinasihatkan untuk menguruskan pendapatan harian mereka dengan lebih teliti dan berobjektif.
“Janganlah menggunakan keuntungan sewenang-wenangnya kecuali dengan sesuatu yang sangat penting untuk diri mahupun keluarga,” ujar Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah.
Dalam membuat teguran berkenaan, beliau menyarankan mereka untuk menabung sedikit perolehan harian itu atau dijadikan sebagai modal pusingan.
“Misalnya kita berniaga sehari dan memperolehi keuntungan.
Namun apabila selesai berniaga, keuntungan berniaga digunakan membeli barangan kurang berfaedah.
“Yang paling tepat adalah menabung pendapatan untuk masa depan, biarpun dalam jumlah yang sedikit. Atau sekurang-kurangnya dijadikan sebagai modal pusingan,” kata Fatimah lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program: Taskforce Pendaftaran Lesen Usahawan Wanita Sarawak Daerah Dalat-#PUWas@Dalat pada 22 Ogos 2020.
Justeru, beliau juga menyarankan suri rumah tangga untuk mendaftar dengan i-suri atau i-saraan kemudahan tabungan masa depan yang dikendalikan oleh KWSP.
“Saya tahu banyak yang ingin menabung dengan i-suri, namun, ia hanya untuk mereka yang berdaftar dengan e-Kasih sahaja. Oleh kerana bukan semua yang layak, jadi diwujudkan i-saraan pula yang terbuka kepada semua suri-rumah atau wanita yang tidak bekerja termasuk yang berniaga kecil-kecilan dengan maksimun caruman RM250 sebulan. Ini adalah untuk masa depan individu yang terlibat,” katanya.
Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, berkata, program #PUWaS telah diwujudkan untuk membantu usahawan wanita untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Seperti mana yang kita sedia maklum sesuatu peniagaan itu tidak akan berkembang jika tiada berlesen. Justeru, kita wujudkan program ini untuk memudahkan usahawan wanita kita untuk memperolehi lesen,” katanya lagi.
Tambah Fatimah, walaupun pelbagai inisiatif atau bantuan yang telah disalurkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk membantu usahawan PKS semasa krisis Covid-19 ini, namun bukan semua boleh menikmatinya kerana peniagaan mereka tidak berlesen atau permit perniagaan.
“Sehubungan itu, menerusi Task Force, pelbagai agensi akan memainkan peranan masing-masing untuk bersama turun padang ke kawasan yang terjejas, sekali gus dapat membantu menyediakan usahawan wanita Sarawak dengan pendaftaran perniagaan dan lesen perdagangan bagi memastikan mereka dapat memohon bantuan disediakan oleh kerajaan pada masa depan,” katanya.
Justeru, Fatimah kagum dengan sambutan usahawan wanita Dalat terhadap program tersebut yang menyaksikan penyertaan yang tertinggi setakat ini iaitu 514 peserta.
Program pertama #PUWaS@Kuching pada bulan lepas telah menarik penyertaan seramai 100 orang, dan kedua, #PUWaS@Subis hanya 50 orang.
Oleh Henry B Siyu