
PETRA JAYA: Kerajaan kini meneliti cadangan pindaan terhadap Akta Perlindungan Kanak-Kanak bagi memperkukuh aspek kawalan khususnya melibatkan ancaman dalam talian, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.
Beliau berkata, perbincangan awal bersama Kementerian Undang-Undang telah dimulakan termasuk cadangan menubuhkan tribunal berkaitan kes buli siber, namun ia masih di peringkat perbincangan serta libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan.
“Wujudnya teknologi baharu, macam-macam boleh berlaku. Kita sedang berusaha mengetatkan undang-undang, termasuk memasukkan tribunal dalam pindaan akta.
“Tetapi ia masih dalam proses libat urus bersama kementerian dan belum dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penutupan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak (PKKK) Peringkat Bahagian Kuching, hari ini.

Menurutnya, kerjasama rapat turut dijalinkan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memantau kes eksploitasi kanak-kanak di alam maya, termasuk penyebaran video tidak bermoral.
“Kes-kes tertentu disiasat MCMC, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lebih menumpukan aspek advokasi dan kaunseling. Bidang kuasa perlu jelas supaya masyarakat faham bahawa setiap agensi mempunyai peranan tersendiri,” tegasnya.
Nancy berkata, program advokasi perlindungan kanak-kanak kini diperluas daripada sekolah ke peringkat komuniti menerusi PKKK bagi memastikan penglibatan lebih ramai ibu bapa dan masyarakat setempat.
“Tahun lalu kita berjaya melaksanakan program di 337 sekolah berbanding sasaran 300. Tahun ini kita mensasarkan 300 sekolah dan 30 PKKK tambahan dan kita berharap dapat melepasi angka itu juga,” ujarnya.
Beliau menambah, sebarang pindaan undang-undang akan melibatkan libat urus bersama kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan suara masyarakat diambil kira.
“Kita mahu pendekatan seluruh lapisam masyarakat yang mana masyarakat, agensi penguat kuasa, NGO dan kementerian bekerjasama melindungi kanak-kanak,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat