
JAKARTA: Pemimpin ekonomi terbesar Asia Tenggara, Indonesia, kini berusaha memulihkan keyakinan rakyat sambil mengambil peluang melantik orang setianya selepas rusuhan berdarah bulan lalu.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, kini giat melakukan percaturan semula dengan merombak Kabinet dan membatalkan dasar kerajaan yang menimbulkan kemarahan rakyat.
Protes yang tercetus akibat gaji rendah, pengangguran dan kemarahan terhadap keistimewaan mewah wakil rakyat bertambah besar selepas rakaman video tersebar menunjukkan kenderaan polis separa tentera merempuh seorang pemandu Ojek, Affan Kurniawan, 21.
Rusuhan yang menyusul, menurut kumpulan hak asasi, meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa dan menyaksikan ratusan ditahan, sekali gus menjadi krisis terbesar dalam pentadbiran Prabowo.
Bekas jeneral itu kini merayu rakyat mengembalikan kepercayaan terhadap pemerintahannya.
Beliau berikrar mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis yang merempuh Affan, menarik balik elaun perumahan wakil rakyat, selain menyingkirkan lima menteri pada Isnin lalu, termasuk Menteri Kewangan berpengaruh, Sri Mulyani Indrawati.
Prabowo memberi tumpuan kepada projek mega sosial bernilai tinggi yang dibiayai menerusi pemotongan belanjawan besar-besaran, yang sudah mencetuskan bantahan sejak Februari lalu.
Antara dasar utamanya ialah program makanan percuma serta penubuhan dana kekayaan berdaulat baharu.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan baharu, Purbaya Yudhi Sadewa, pada Rabu mengumumkan akan menyuntik AS$12 bilion (RM56.5 bilion) ke dalam ekonomi bagi merangsang pertumbuhan serta meredakan kemarahan rakyat.
Prabowo meraih kemenangan besar dalam pilihan raya tahun lalu dan mengekalkan tahap populariti melebihi 80 peratus selepas 100 hari pertama mentadbir sejak Oktober, menurut tinjauan.
Namun, jurang kemiskinan yang semakin melebar menyebabkan protes bertukar ganas dengan kemarahan ditujukan kepada elit politik, termasuk perusuh membakar bangunan dan menjarah kediaman ahli politik.
Bagaimanapun, kekecohan yang berlaku dimanfaatkan Prabowo bagi merombak Kabinet untuk menggantikan pegawai yang dikaitkan dengan pendahulunya, Joko Widodo (Jokowi), dengan mereka yang setia kepadanya.
Sri Mulyani berkhidmat selama lapan tahun di bawah Jokowi, manakala Menteri Kewangan baharu, Purbaya, pula rapat dengan penasihat ekonomi utama kerajaan, Luhut Binsar Pandjaitan, bekas rakan sepasukan tentera Prabowo.
Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi, berkata bahawa pengganti dalam rombakan Kabinet Merah-putih itu adalah individu tepat untuk jawatan berkenaan.
Bagaimanapun, Istana Presiden tidak memberi maklum balas terhadap permintaan komen AFP.
Bagi mengembalikan keyakinan rakyat, penganalisis berkata Prabowo, bekas menantu diktator Suharto, perlu menangani jurang kekayaan yang semakin melebar dan kemerosotan demokrasi di negara yang baru keluar daripada pemerintahan kuku besi pada 1990-an.
Namun, dengan melantik orang setia untuk mengawal belanjawan serta keselamatan, Prabowo dilihat lebih mahu mempertahankan dasar utamanya, berbanding mengubah haluan.
-AFP