Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Eksklusif: SFC terus lindungi penyu di Sarawak, di sebalik tekanan kritikal aktiviti manusia
  • RENCANA

Eksklusif: SFC terus lindungi penyu di Sarawak, di sebalik tekanan kritikal aktiviti manusia

Utusan Sarawak 15 hours ago
GAMBAR hiasan.

REKOD penguatkuasaan dari 2019 hingga suku kedua 2025 menunjukkan sebanyak 39 kes perdagangan dan pemilikan telur penyu telah direkodkan, melibatkan rampasan sejumlah 30,853 biji telur. 

Permintaan tinggi telur penyu dari kalangan masyarakat tempatan ini sangat merisaukan. 

Ikuti temu ramah secara eksklusif wartawan Utusan Sarawak, Earl Anek, bersama Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran mengenai isu penyu dan populasinya serta langkah-langkah melindungi penyu di Sarawak. 

PENGURUS Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran. Foto SFC

Soalan (S): Apakah ancaman utama dihadapi oleh populasi penyu di Sarawak pada masa kini?

Abang Arabi: Populasi penyu di Sarawak kini berdepan dengan tekanan yang semakin kritikal akibat faktor kesan langsung atau tidak langsung aktiviti manusia. 

Perubahan iklim global memberi impak langsung terhadap kitaran biologi penyu, khususnya melalui peningkatan suhu pasir di kawasan pendaratan yang menjejaskan nisbah jantina anak penyu dengan kecenderungan lebih dominan ke arah betina. 

Ketidakseimbangan ini menimbulkan risiko terhadap kestabilan populasi dalam jangka masa panjang. 

Selain itu, kenaikan paras laut dan fenomena hakisan pantai turut mengakibatkan sarang-sarang penyu ditenggelami atau musnah, sekali gus mengurangkan kadar penetasan semula jadi.

Pada masa sama, ancaman daripada aktiviti manusia semakin ketara, terutamanya pengambilan telur penyu secara haram untuk tujuan komersial.

Rekod penguatkuasaan dari 2019 hingga suku kedua 2025 menunjukkan sebanyak 39 kes perdagangan dan pemilikan telur penyu telah direkodkan, melibatkan rampasan sejumlah 30,853 biji telur. 

Statistik ini membuktikan wujudnya permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat tempatan terhadap telur penyu, meskipun larangan undang-undang telah berkuat kuasa. 

Keadaan ini secara langsung mengurangkan peluang anak penyu untuk menetas dan kembali ke laut, sedangkan kadar kemandirian semula jadi daripada telur hingga ke peringkat dewasa adalah amat rendah.

S: Bagaimana aktiviti penyeludupan dan perdagangan telur penyu menjejaskan kelangsungan hidup penyu laut?

Abang Arabi: Aktiviti penyeludupan dan perdagangan telur penyu menjejaskan kelangsungan hidup penyu laut kerana ia terus mengurangkan peluang anak penyu untuk menetas secara semula jadi. 

Setiap telur yang diambil bermakna berkurangnya jumlah anak penyu yang boleh dilepaskan ke laut, sedangkan kadar kemandirian penyu daripada telur hingga dewasa sememangnya sudah sangat rendah. 

Setiap kehilangan generasi baharu bermakna semakin berkurangnya peluang penyu untuk mengekalkan kestabilan populasi.

Penyu laut di Malaysia juga secara amnya kini berada pada tahap yang membimbangkan. 

Penyu Sisik (Hawksbill Turtle) telah dikategorikan sebagai Terancam Kritikal, manakala Penyu Hijau (Green Turtle) dan Penyu Lipas (Olive Ridley Turtle) berada dalam kategori Terancam. 

Lebih membimbangkan, Penyu Belimbing (Leatherback Turtle), yang suatu ketika dahulu banyak direkodkan di Terengganu, kini tidak lagi mendarat untuk bersarang sejak 2017. 

Perubahan status konservasi ini menunjukkan tekanan berterusan daripada aktiviti manusia, termasuk penyeludupan telur, telah mempercepatkan penurunan populasi spesies-spesies penting ini.

S: Sejauh mana keberkesanan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dalam membanteras kegiatan penyeludupan telur penyu?

Abang Arabi: Dari sudut perundangan, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 menetapkan bahawa penyu tergolong sebagai Haiwan Dilindungi Sepenuhnya (Totally Protected Animal), menjadikan sebarang aktiviti seperti pemilikan, penjualan atau penyeludupan telur penyu sebagai satu kesalahan berat. 

Individu yang didapati memiliki telur penyu tanpa kebenaran daripada Pengawal Hidupan Liar di Sarawak boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda RM25,000 bagi setiap haiwan atau bahagiannya, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 37 dibaca bersama Seksyen 29(1)(c) ordinan ini. 

Peruntukan ini menunjukkan komitmen undang-undang di Sarawak dalam melindungi spesies marin yang terancam daripada eksploitasi dan kepupusan.

Daripada aspek penguatkuasaan, ordinan ini terbukti berkesan apabila membolehkan SFC melaksanakan rampasan dan seterusnya dibicarakan di mahkamah. 

Dari segi hukuman pula, ordinan ini menyediakan peruntukan untuk mahkamah menjatuhkan penalti berat, dengan rekod hukuman penjara antara satu hari hingga lapan bulan serta denda yang berbeza daripada RM3,000 hingga setinggi RM1.9 juta setiap pesalah (2024), selain kes 2,540 biji telur penyu pada 2025 yang dikenakan denda RM55,000. 

Ini membuktikan ordinan tersebut bukan sahaja menempatkan penyu pada tahap perlindungan paling tinggi, malah memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan memastikan pesalah dikenakan hukuman yang mampu memberi kesan pencegahan. 

S. Apakah bentuk kerjasama SFC dengan agensi lain seperti Polis Marin dan Maritim Malaysia dalam operasi penguatkuasaan?

Abang Arabi: SFC telah melaksanakan pelbagai operasi bersama agensi lain di bawah Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), khususnya dengan PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Dari segi penguatkuasaan lapangan, pada tahun ini sahaja SFC telah menjalankan tujuh operasi bersama Polis Marin dan lima operasi bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) di Wilayah Kuching sahaja, belum termasuk wilayah lain. 

Selain itu, terdapat juga operasi bersama Unit Cawangan Khas yang berjaya menghasilkan beberapa tangkapan melibatkan kes sindiket penyeludupan gaharu di Limbang. 

Kerjasama ini tidak terhad kepada operasi semata-mata, malah meliputi perkongsian maklumat risikan dan penemuan, khususnya daripada pihak kastam yang memainkan peranan penting dalam mengawal kemasukan barangan ke Sarawak. 

Antara 2020 hingga 2024, pihak kastam telah mengesan dan menyerahkan sebanyak 84 kes berkaitan hidupan liar kepada SFC untuk tindakan lanjut.

Selain kerjasama dengan agensi tempatan, SFC turut menjalin hubungan dua hala dengan agensi luar negara dan antarabangsa. Sebagai contoh, pada tahun ini SFC bersama Pengawasan Sumber Daya Kelautan dan Perikanan Pontianak (PSDKP) Indonesia telah membincangkan strategi penguatkuasaan rentas sempadan, khususnya dalam mengekang penyeludupan telur penyu dan spesies marin lain. 

Pada masa sama juga, pasukan penguat kuasa SFC bekerjasama dengan INTERPOL dalam perkongsian serta analisis maklumat risikan berkaitan sindiket penyeludupan gaharu, terutama sekali dalam aspek risikan siber dan analisis bukti digital.

S. Boleh Tuan jelaskan inisiatif utama SFC dalam melindungi penyu laut, khususnya melalui program penetasan semula (hatchery)?

Abang Arabi: Pelan Tindakan Pemuliharaan Spesies (2023–2027) atau Species Conservation Action Plan (2023–2027) untuk Penyu Laut di Sarawak yang disediakan oleh ahli biologi SFC dengan input daripada pakar luar, nelayan tempatan, badan bukan kerajaan (NGO) dan renjer taman, merupakan pelan strategik masa depan untuk melindungi spesies ikonik ini. 

Pelan ini turut menggariskan prosedur operasi standard (SOP) Turtle Hatchery berperanan sebagai “manual operasi” di lapangan bagi memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara konsisten dan berasaskan sains, termasuk pemilihan lokasi pusat penetasan, pemindahan telur, pengurusan sarang, kawalan suhu, serta pelepasan anak penyu.

Taman Negara Talang Satang merupakan lokasi utama pendaratan penyu di Sarawak, yang menyumbang kira-kira 95 peratus daripada keseluruhan pendaratan di negeri ini. 

Spesies utama yang mendarat di pulau ini ialah Penyu Agar (Chelonia mydas) dan Penyu Sisik (Eretmochelys imbricata), kedua-duanya disenaraikan sebagai Haiwan Terlindung Sepenuhnya di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, Sarawak, serta dikategorikan sebagai spesies terancam dalam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) Red List.

Sejak akhir 1990-an, antara 2,000 hingga 3,500 ekor penyu betina terutamanya Penyu Agar direkodkan bersarang setiap tahun di Taman Negara Talang-Satang dan Taman Negara Tanjung Datu. 

Data ini menunjukkan trend pendaratan yang positif dan mencadangkan bahawa populasi telah mencapai tahap keseimbangan dalam tempoh 20 tahun yang lalu. 

Trend pendaratan yang positif ini turut disertai dengan kestabilan dalam jumlah pendaratan dan kadar penetasan telur penyu di Taman Negara Talang Satang. Keseluruhannya, trend ini selari dengan pelaksanaan langkah pengurusan dan perlindungan yang dipertingkatkan di tapak pendaratan.

S. Apakah pencapaian terkini SFC melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dalam usaha pemuliharaan penyu?

Abang Arabi: Berdasarkan data terkini, SFC melalui OBK telah melaksanakan sebanyak 14 kes berkaitan telur penyu sejak 2021. Antara yang utama termasuk kes pada 2022 yang mencatatkan rampasan terbesar pihak PDRM iaitu 11,611 biji telur penyu di Lawas, selain beberapa rampasan lain di Kuching berjumlah ratusan hingga melebihi 1,000 biji. 

Pada 2024, satu kes besar di Kuching melibatkan 1,997 biji telur penyu dengan pesalah dijatuhkan hukuman penjara dan denda yang tinggi iaitu RM1.9 juta setiap seorang. Sehingga suku kedua 2025, OBK telah berjaya menumpaskan lima kes di Kuching dengan rampasan antara 152 hingga 2,540 biji telur penyu, melibatkan hukuman penjara antara empat hingga lapan bulan serta denda sehingga RM55,000. 

Secara keseluruhannya, pencapaian OBK ini menunjukkan kejayaan besar dalam mematahkan aktiviti penyeludupan berskala besar, memastikan pesalah dikenakan hukuman berat, dan yang paling penting menyelamatkan puluhan ribu telur penyu daripada diperdagangkan secara haram, sekali gus menyumbang kepada kelangsungan populasi penyu di Sarawak dan sekitarnya.

S. Bagaimana masyarakat setempat boleh memainkan peranan untuk membantu melindungi penyu dan habitatnya?

Abang Arabi: Pekerja tempatan melalui Wildlife Guardian Ranger (WGR) dilantik sebagai pembantu lapangan oleh SFC untuk membantu pemeliharaan dan pemuliharaan penyu di Taman Negara Talang Satang dan Taman Negara Tanjung Datu melalui aktiviti rondaan pantai, penjagaan hatchery dan pelepasan anak penyu berdasarkan SOP yang dirangka oleh SFC.

Sukarelawan dan komuniti juga terlibat dalam Program Pemuliharaan Penyu. 

Selain itu, turut diadakan adalah kesedaran awam melalui program Sarawak Sea Turtle Adoption.

S. Apakah sasaran dan perancangan jangka panjang SFC untuk memastikan kelestarian populasi penyu di Sarawak?

Abang Arabi: SFC menyasarkan kelestarian populasi penyu laut di Sarawak melalui perancangan jangka panjang yang merangkumi pemantapan pengurusan pusat penetasan di Taman Negara Talang Satang, Taman Negara Tanjung Datu dan Taman Negara Similajau, di samping memperketatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap pencerobohan dan penyeludupan telur penyu di dalam Sarawak dan rentas sempadan. 

Usaha ini turut disokong dengan program pendidikan dan kesedaran awam, penglibatan komuniti setempat dalam konservasi, serta pelaksanaan penyelidikan saintifik untuk memantau perubahan populasi dan faktor persekitaran. 

Pendekatan ini selaras dengan langkah antarabangsa seperti IUCN dan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES), sekali gus memastikan kesinambungan generasi penyu di Sarawak dalam jangka masa panjang.

Oleh Earl Anek 

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Mendokumentasi khazanah persembahan tradisional Melanau Matu 
Next: Tragedi lemas peserta regata buka mata masyarakat tentang aspek keselamatan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.