Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Eksklusif: Mendokumentasi khazanah persembahan tradisional Melanau Matu 
  • RENCANA

Eksklusif: Mendokumentasi khazanah persembahan tradisional Melanau Matu 

Utusan Sarawak 18 hours ago

Gambaran persembahan Nyipak Tabo. (Kredit foto: Walid Ali)

DARO: “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.”

Peribahasa ini bukan sekadar ungkapan kerana ia menjadi semangat yang membakar jiwa sekumpulan penyelidik seni dalam usaha menyelamatkan dua khazanah persembahan tradisional masyarakat Melanau Matu iaitu Long Ukang dan Nyipak Tabo yang kini hampir tenggelam dalam arus kemodenan.

Kajian lapangan ini diketuai oleh Ketua Penyelidik, Walid Ali dan melibatkan kerjasama erat antara Kolej Pengajian Seni Kreatif (FiTA) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Rosdeen Suboh dari Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya (UM) serta Persatuan Melanau Matu Daro sebagai tanda kesungguhan mengangkat semula seni yang kian terpinggir ini.

Ketua Penyelidik, Walid Ali 

Menurut Walid, misi mereka sangat jelas iaitu mendokumentasikan dan memulihkan seni persembahan yang kini hanya dikuasai oleh segelintir pengamal warga emas agar ia tidak lenyap ditelan zaman dan dapat diwariskan kepada generasi muda.

“Seperti yang selalu dipesan arwah Prof Shahren, seni warisan itu ada di depan rumah kita,” katanya kepada Utusan Sarawak.

Menurut Walid lagi, inisiatif ini juga merupakan kesinambungan daripada penyelidikan bertajuk “Inspired By Studio Ghibli Exploring and Illustrating Mystical Character World of Melanau in Sarawak Borneo” yang dijalankan berasaskan Memorandum Persefahaman antara UiTM dan komuniti Melanau Matu.

LONG UKANG DAN NYIPAK TABO

Beliau berkata, Long Ukang, yang kaya dengan nilai kesantunan dan kehidupan harmoni, kali terakhir dipersembahkan secara rasmi di Kampung Tian (Matu) beberapa dekad lalu sebelum dirakam oleh stesen penyiaran Brunei. 

“Hanya pada tahun lalu, seni ini kembali mendapat perhatian apabila dipersembahkan di Pesta Daro, satu detik bersejarah yang memberi sinar baharu kepada warisan ini.

“Kisahnya mengangkat watak seorang raja Melanau bernama Long Ukang bersama rakyatnya, sarat dengan simbolisme, nasihat, dan nilai kebersamaan yang mendalam,” katanya.

Latihan persembahan Long Ukang di Dewan Kampung Lemang Pek. (Kredit foto: Walid Ali) 

Sementara itu, Nyipak Tabo, seni yang berasal dari Kampung Semop, telah hampir tiga dekad tidak dipersembahkan. 

“Ia bukan sekadar persembahan, tetapi lahir daripada mimpi seorang penduduk yang sedang berduka kerana kehilangan ahli keluarga, menjadikannya satu bentuk terapi jiwa yang amat menyentuh perasaan.

“Nyipak Tabo pada asalnya menjadi pengubat jiwa. Itu membuktikan betapa seni ini begitu dekat dengan kehidupan masyarakat Melanau,” katanya.

CABARAN CARI PEWARIS

Walid mengakui bahawa usaha menghidupkan kembali seni lama ini bukan mudah kerana cabaran paling besar ialah mencari pengamal asal yang masih mengingati dan mampu mempersembahkannya, memandangkan usia mereka yang sudah lanjut dan jumlahnya yang sangat terhad.

Namun, katanya, segala kesukaran dipermudahkan berkat sokongan komuniti setempat yang prihatin dan bersemangat.

“Komuniti Melanau Mato sangat menyokong. Mereka mahu melihat seni ini kembali hidup. Kami sudah berbincang untuk menjadikan Long Ukang sebagai persembahan pembukaan acara rasmi di Matu dan Daro, manakala Nyipak Tabo pula sesuai dibawa ke program motivasi kerana mesejnya begitu menyentuh hati,” jelasnya.

SENI TRADISI DALAM DUNIA DIGITAL

Bagi Walid, dunia digital hari ini adalah peluang keemasan untuk mengangkat seni warisan ke pentas antarabangsa.

“Generasi muda kini sangat kreatif. Mereka suka cipta kandungan media sosial berasaskan budaya tempatan. Kalau dulu persembahan seperti ini hanya dinikmati oleh masyarakat setempat, kini ia boleh ditonton seluruh dunia hanya dengan satu rakaman,” tambahnya.

Walid (duduk kanan, berbaju biru) bersama pasukannya sedang menemu bual penduduk Semop berhubung persembahan tradisi Nyipak Tabo. (Kredit foto: Walid Ali)

Justeru, beliau bersama pasukannya, merancang untuk mendokumentasikan kedua-dua seni ini dalam pelbagai bentuk seperti penulisan akademik, buku, kelas seni, teater, filem dan juga animasi.

“Kita boleh mencontohi Korea Selatan yang berjaya memasarkan budaya mereka melalui animasi dan drama. Kita juga mampu melakukan perkara yang sama dengan seni Melanau,” tambahnya penuh yakin.

HARAPAN BUAT GENERASI MUDA

Sehubungan itu, beliau berharap inisiatif ini bukan sekadar menyelamatkan seni persembahan tradisi, tetapi lebih jauh menjadi pemangkin kepada kebangkitan jati diri dan rasa bangga generasi muda Melanau terhadap warisan budaya mereka sendiri.

“Saya ingin lihat lebih ramai anak muda Melanau menjadi sarjana seni budaya. Dari seni budayalah kita belajar mencintai diri sendiri. Kalau diangkat dengan betul, seni ini bukan sahaja kekal hidup malah mampu menjadi sumber ekonomi dan menaikkan imej masyarakat,” katanya.

PETIKAN LAGU TRADISI

NYIPAK TABO

Jejenguk unyoq labuk nyipak tabo tabo

Sesingen serawen muo ako ako

Matai udik matai agik

Leliso liso

LONG UKANG

Long Long Ukang

Long Ukang Sapidanu

Danu putong ayang

Ayang kahormat

Oleh TARANI LANTING

Continue Reading

Previous: Umar Al-Faruq: Simbol ketakwaan dan kepimpinan Islam
Next: Eksklusif: SFC terus lindungi penyu di Sarawak, di sebalik tekanan kritikal aktiviti manusia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.