
Brentford berjaya mencuri satu mata dari perlawanan berdepan Chelsea.
LONDON: Chelsea terlepas peluang untuk menghuni tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila gol penyamaan Fabio Carvalho pada minit ke-93 membantu Brentford seri 2-2 pada aksi musuh tetangga London barat awal pagi tadi.
Juara dunia itu terpaksa menanggung akibat susulan eksperimen Enzo Maresca membuat rombakan kesebelasan utama apabila Kevin Schade meledak gol pendahuluan Brentford pada separuh masa pertama.
Pemain gantian Cole Palmer memimpin kebangkitan Chelsea sekembalinya daripada kecederaan untuk menyamakan kedudukan sebelum rembatan padu Moises Caicedo seakan-akan menghadiahkan tiga mata penuh buat The Blues.
Namun ancaman berterusan Brentford menerusi lontaran jauh akhirnya membuahkan hasil di hujung permainan apabila Carvalho dibiarkan tidak dikawal untuk menampan masuk bola dari jarak dekat.
Chelsea kekal tanpa kalah musim ini tetapi hanya berada di tangga kelima, satu mata di belakang empat pasukan teratas – Arsenal, Tottenham, Bournemouth dan Liverpool.
Jorrel Hato bergelut dalam penampilan sulungnya di EPL, manakala Wesley Fofana hanya bertahan selama 45 minit dalam penampilan pertamanya musim ini.
Facundo Buonanotte dan Jamie Gittens pula gagal memberi impak di bahagian serangan, menyebabkan Chelsea berputih mata kerana mensia-siakan 45 minit pertama.
“Saya rasa kami jauh lebih baik (pada separuh masa kedua),” kata Maresca.
“Saya rasa kami layak menang tetapi sayang sekali. Kami kehilangan dua mata.”
Brentford pula kehilangan Yoane Wissa yang menyertai Bryan Mbeumo meninggalkan kelab minggu ini, menyaksikan The Bees kehilangan pemain yang bergabung meledak 39 gol EPL musim lalu.
Tanggungjawab kini terletak kepada Schade untuk mengisi kekosongan ditinggalkan dua penyerang itu. Pemain Jerman itu tampil dengan gol pertamanya musim ini pada minit ke-35.
Lorongan cantik daripada Jordan Henderson menemui Schade dan dia memotong ke dalam mengatasi Tosin Adarabioyo sebelum melepaskan rembatan ke penjuru gol. – AFP