
SIMUNJAN: Pekan Simunjan bakal menjadi tumpuan peminat dunia permotoran apabila Perhimpunan Motosikal Simunjan 2025 berlangsung pada 4 Oktober ini, bersempena Pesta Simunjan 2025.
Acara anjuran Dabelo Bikers Community itu dijangka menghimpunkan ratusan penunggang motosikal dari seluruh Sarawak dan luar kawasan dalam suasana penuh semangat persaudaraan, hiburan serta aktiviti lasak.
Menurut kenyataan penganjur, pelbagai acara menarik disediakan bagi memeriahkan perhimpunan tahunan tersebut, antaranya Penghargaan Kelab Terbaik, Pertunjukan Motosikal, Aksi Kawalan & Tunggang Perlahan, Sukaneka Penunggang, Litar Mini Basikal Poket, Pertandingan Video Kreatif serta segmen fesyen Jejaka Bergaya dan Wanita Anggun.
“Perhimpunan Motosikal Simunjan bukan sekadar perhimpunan motosikal, tetapi juga platform menjalin persahabatan, berkongsi minat serta mempromosikan Simunjan sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan budaya dan hospitaliti masyarakatnya,” menurut kenyataan itu.
Acara kemuncak ialah konvoi besar-besaran yang bakal menyaksikan perarakan penunggang motosikal dari Samarahan ke Simunjan sebagai simbol kesatuan komuniti permotoran di negeri ini.
Program dijadualkan bermula 9.00 pagi hingga lewat malam di Pekan Simunjan, dan terbuka kepada orang ramai dengan pelbagai segmen sesuai untuk seisi keluarga.
Maklumat lanjut serta pendaftaran boleh diperoleh melalui laman Facebook rasmi Dabelo Bikers Community.
Oleh Shahrul Qaizat