Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Suspek pembunuhan Charlie Kirk ditahan
  • GLOBAL

Suspek pembunuhan Charlie Kirk ditahan

Utusan Sarawak 14 hours ago
SEBUAH monitor TV memaparkan gambar Tyler Robinson, suspek pembunuhan Charlie Kirk pada 11 September, di Orem, Utah, pada 12 September 2025. Presiden AS Donald Trump pada Jumaat mengumumkan bahawa suspek telah ditahan berhubung pembunuhan aktivis sayap kanan Charlie Kirk selepas operasi pengejaran besar-besaran. Foto AFP

OREM, Amerika Syarikat: Pihak berkuasa Amerika Syarikat mengesahkan pada Jumaat bahawa mereka telah menahan seorang lelaki yang disyaki membunuh aktivis sayap kanan terkenal, Charlie Kirk, selepas seorang ahli keluarganya tampil membantu menyerahkannya kepada pihak berkuasa sekali gus menamatkan pemburuan besar-besaran yang berlangsung lebih 30 jam.

“Kami telah menangkapnya,” kata Gabenor Utah, Spencer Cox, dalam satu sidang media.

Cox mengenal pasti suspek sebagai Tyler Robinson, 22 tahun, dan memaklumkan bahawa penahanan dibuat selepas seorang ahli keluarganya menghubungi seorang rakan, yang kemudian melaporkan kepada pihak polis.

Penahanan itu telah membangkitkan harapan rakyat di sebuah negara yang sedang bergelut dengan perpecahan politik untuk mendapatkan jawapan berhubung pembunuhan bermotif politik yang mengejutkan pada hari Rabu lalu.

Charlie Kirk, 31 tahun, maut selepas terkena satu das tembakan di leher ketika sedang berucap di hadapan ratusan orang di Universiti Utah Valley, di bandar Orem.

SIDANG MEDIA… Beau Mason dari Jabatan Keselamatan Awam Utah, pengarah FBI Kash Patel, Gabenor Utah Spencer Cox dan Sheriff Mike Smith menghadiri sidang media di luar Auditorium Doterra di Universiti Lembah Utah selepas aktivis belia dan influencer Charlie Kirk ditembak semasa acara awam di Orem, Utah, pada 12 September 2025. Foto AFP

Kirk merupakan tokoh berpengaruh dalam kalangan sayap kanan AS, dengan jumlah pengikut yang besar terutamanya dalam kalangan belia yang membantu kempen kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Presiden pada November lalu.

Presiden Trump segera menganggap pembunuhan ini sebagai isu berkepentingan nasional, mengarahkan semua bendera dikibarkan separuh tiang, dan mengumumkan beliau akan menghadiri majlis pengebumian Kirk.

Kirk dikenali dengan pendirian tegas terhadap isu-isu sensitif seperti kaum, jantina, hak pemilikan senjata, serta pandangan yang didakwa oleh sesetengah pihak sebagai bersifat antisemitik. Walaupun tokoh yang sangat kontroversial, beliau tetap dihormati oleh lawan politik kerana kesediaannya untuk berdebat secara terbuka.

Pihak berkuasa belum mengenal pasti motif sebenar Robinson, namun Gabenor Cox memaklumkan bahawa slogan-slogan anti-fasis telah ditemui pada dua kelongsong peluru yang tidak digunakan.

Salah satu kelongsong itu tertulis, “Hey, fasis! Tangkap ni!”, manakala satu lagi bertulis “Bella Ciao”, dipercayai merujuk kepada lagu anti-fasis dari Itali era Perang Dunia Kedua.

Beberapa kelongsong lain turut memaparkan simbol dan tulisan yang dikaitkan dengan budaya permainan video dalam talian.

Siapa Tyler Robinson?

Maklumat awal mengenai Robinson mula tersebar pada hari Jumaat. Beliau digambarkan sebagai seorang lelaki muda dari keluarga penyokong Parti Republikan.

Gambar yang diperoleh menunjukkan Robinson seorang pelatih juruelektrik tahun ketiga pernah bergambar bersama senjata api dan memakai kostum Halloween yang menggambarkan seolah-olah dia sedang “menunggang” di atas bahu Donald Trump.

Kejayaan Operasi Pemburuan

Pihak berkuasa mengambil masa 33 jam untuk melakukan penahanan.

Di kawasan berhutan berhampiran universiti, mereka menemui senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian sebuah raifal memburu berkuasa tinggi dan turut mengedarkan gambar seorang lelaki muda memakai topi besbol dan pakaian kasual.

Namun, selepas dua individu ditahan dan kemudiannya dibebaskan apabila didapati tidak berkaitan dengan kes, pihak polis dan FBI dilihat semakin terdesak.

Lewat malam Khamis, pegawai di Orem mendedahkan maklumat tambahan mengenai pakaian suspek serta pergerakan awalnya selepas kejadian, sambil merayu kepada orang awam untuk membantu mengenal pasti suspek.

Menurut Pengarah FBI, Kash Patel, penahanan dibuat pada 10.00 malam, Khamis.

Gabenor Cox turut mengucapkan penghargaan kepada ahli keluarga suspek atas kerjasama mereka.

“Pada malam 11 September, seorang ahli keluarga Tyler Robinson menghubungi rakan keluarga, yang kemudian menghubungi Pejabat Sheriff Washington County dengan maklumat bahawa Robinson telah mengaku  atau memberi bayangan  bahawa dia bertanggungjawab dalam kejadian tersebut,” jelas Cox.

Reaksi Orang Ramai dan Ketegangan Politik

Pelajar Universiti Utah Valley menggambarkan kejutan mereka dan menyatakan kebimbangan terhadap perpecahan politik yang semakin meruncing di seluruh negara.

Dave Sanchez, 26, memberitahu AFP bahawa menyaksikan pembunuhan itu membuatkan dia berasa “loya”.

“Kami selalu menonton beliau. Ia terasa seperti kehilangan ahli keluarga sendiri, seperti abang kandung yang dibunuh,” katanya.

Di Taman Orem, ratusan penyokong berkumpul pada malam Khamis dalam majlis nyalaan lilin. Ramai yang memakai topi merah MAGA dan mengibarkan bendera Amerika Syarikat sambil berdoa dan mengadakan saat hening.

“Masih sukar dipercayai ini benar-benar berlaku,” kata Jonathan Silva, 35. “Sangat surreal.”

Trump Tuntut Hukuman Mati

Trump dalam kenyataannya menyatakan bahawa beliau mahu penembak itu dijatuhkan hukuman mati.

Mencerminkan kepentingan politik dalam kes ini, keranda mendiang Kirk telah diterbangkan ke kampung halamannya di Phoenix menggunakan pesawat rasmi Naib Presiden JD Vance, Air Force 2.

Rakaman menunjukkan Vance meletakkan tangannya di atas keranda semasa ia dibawa masuk ke pesawat.

Kirk, yang dianggap sebagai “pejuang” oleh para penyokongnya, merupakan pengasas bersama Turning Point USA pada 2012 sebuah organisasi yang bertujuan menyemarakkan ideologi konservatif dalam kalangan generasi muda.

Sebagai bapa kepada dua anak, beliau memanfaatkan platform media sosial seperti TikTok, Instagram dan YouTube untuk menyebarkan mesej Kristian konservatif, dasar anti-imigrasi, serta menyunting video debatnya di kampus-kampus untuk meraih sokongan dan perhatian meluas. – AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Bekas ketua hakim negara dilantik perdana menteri baharu Nepal
Next: Apple tangguh pelancaran iPhone Air di China akibat isu kawal selia eSIM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.