
MIRI: Seorang ahli perniagaan tempatan kerugian lebih RM570,000 selepas terpedaya dengan tawaran skim pelaburan tidak wujud menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJKD) menerima laporan dibuat mangsa berusia lewat 50-an berhubung kejadian itu pada 12 September lalu.
Menurutnya, pada awal Jun lalu, mangsa yang berada di rumah telah melihat iklan di laman Facebook sebuah persatuan berkaitan pelaburan saham sebelum menghubungi individu yang tidak dikenali.
“Suspek menawarkan skim pelaburan dikenali sebagai ‘Chief Inv’ yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
“Mangsa yang tertarik kemudian membuat beberapa transaksi wang secara berperingkat ke akaun diberikan suspek, berjumlah lebih kurang RM570,000,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Bagaimanapun, katanya, mangsa mula menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan, sebaliknya suspek meminta bayaran tambahan sekiranya mahu mendapatkan semula wang pelaburannya.
“Sehingga laporan dibuat, mangsa masih belum menerima sebarang keuntungan. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujarnya.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebatan dan denda.
Oleh Liong Chai Ling