
TATAU: Pasukan Kasihnya Warisan dari Balingian terus mencatat sejarah tersendiri apabila mengekalkan penguasaan di Batang Anap dengan menjuarai Regata Tatau 2025, sekali gus melengkapkan hatrik kejuaraan sejak 2023.
Kemenangan itu sekali lagi membuktikan konsistensi mereka dalam saingan perahu tradisional dengan mengekalkan gelaran ‘Raja Sungai’ buat tiga edisi berturut-turut.
Dengan kejayaan itu, Kasihnya Warisan membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 dan trofi, manakala pasukan Armada 67 dari Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berada di tempat kedua, membawa pulang RM5,000 serta trofi.
Pasukan Puteri Bunian pula menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga dengan ganjaran RM3,000 bersama sebuah trofi.
Hadiah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai, yang turut hadir bersama isterinya, Datin Melia Gelen.
Turut menyaksikan acara itu, ADUN Jepak, Iskandar Turkee serta Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong Endawie@Bujang.
Regata Tatau yang dianjurkan sempena Pesta Tatau terus menjadi pentas penting mengetengahkan tradisi sukan air masyarakat setempat selain berperanan sebagai daya tarikan pelancongan di Sarawak.
Oleh Carolyne Utih