
SARIKEI: Bot tunda bersama lima kru, termasuk seorang nakhoda warga tempatan, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak selepas disyaki melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz, berkata penahanan dilakukan pada 3.20 petang semalam di kedudukan 10 batu nautika barat laut Tanjung Selalang ketika rondaan Op Tiris 3.0 dan Op Permai 01/2019.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit dikendalikan lima kru berusia antara 21 hingga 30 tahun, termasuk empat warga Myanmar yang tidak memiliki permit sah.
“Bot itu juga disyaki melakukan kesalahan di bawah MSO 1952 kerana lesen tamat tempoh serta gagal mempamerkan dokumen perkapalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, selain melanggar MSO 1952, bot berkenaan turut melanggar Akta Imigresen kerana menggajikan kru warga asing tanpa permit.
Bot bersama semua kru telah ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Maritim Negeri Sarawak sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan pihaknya komited memastikan penguatkuasaan undang-undang maritim dipatuhi, sekali gus mengingatkan komuniti maritim supaya tidak berkompromi dengan keselamatan dan peraturan di laut.
Sebarang maklumat atau aduan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999 atau terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.
Oleh Adi Safarman