
SIBU: Mahkamah Majistret Sibu hari ini menetapkan 23 September ini bagi sebutan semula kes seorang lelaki yang menghadapi dua pertuduhan merogol dan satu pertuduhan meliwat anak kandung sendiri.
Majistret Oon Kork Chern menetapkan tarikh itu memandangkan kes adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh berumur 36 tahun didakwa melakukan sumbang mahram dengan anak kandungnya sendiri yang berumur lapan tahun 10 bulan pada 20 Ogos 2025, kira-kira 12.00 tengah hari hingga 5.00 petang di rumah panjang di Pasai Siong.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa atas pertuduhan sama antara 1 September hingga 3 September 2025, kira-kira 12.00 tengah hari hingga 5.00 petang di tempat sama.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sementara bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa meliwat mangsa antara 1 September hingga 3 September 2025, kira-kira 12.00 tengah hari hingga 5.00 petang di rumah panjang sama.
Bagi kesalahan ketiga ini, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tiada pengakuan diambil daripada tertuduh dan tertuduh juga tidak dibenarkan bebas dengan ikat jamin.
Oleh Akun Giman