Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Petronas jadikan gas sebagai teras dalam peralihan tenaga Asia
  • NASIONAL

Petronas jadikan gas sebagai teras dalam peralihan tenaga Asia

Utusan Sarawak 13 hours ago

NAIB Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Petronas Datuk Adif Zulkifli bercakap semasa temu bual dengan Bernama di Menara Berkembar PETRONAS, KLCC, baru-baru ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang mempertingkat transformasinya di bawah inisiatif Petronas 2.0, membentuk semula syarikat untuk mendepani dekad akan datang dan seterusnya. 

Menjelang 2035, mencapai usia 60 tahun penubuhannya yang kukuh, Petronas menjadi syarikat tenaga bersepadu yang memenuhi keperluan tenaga dan penyelesaian dunia serta menawarkannya dengan selamat, dipercayai dan mampan.

Teras perjalanan ini ialah gas asli — bahan api dipercayai, fleksibel dan rendah karbon yang memacu pertumbuhan ekonomi Asia dan menyokong langkah penyahkarbonan di rantau ini.

Selama lebih empat dekad pengalaman dan inovasi dalam gas asli cecair (LNG), Petronas terus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan kongsi jangka panjang yang dipercayai kepada pelanggan di seluruh Asia melalui portfolio global yang berkembang.

Berpangkalan di Malaysia, Berkembang ke Kanada

Bagi Petronas, Malaysia menjadi tonggak bekalan, diterajui oleh kompleks LNG Bintulu di Sarawak, telah menghantar lebih 16,000 kargo ke lebih 25 negara.

Selain itu, Petronas telah melakar lembaran baharu melalui kemudahan LNG terapung (PFLNG) pertama di dunia. 

PFLNG Satu mula beroperasi pada 2016 di luar pesisir Sabah, diikuti PFLNG Dua pada 2021, membolehkan syarikat menjana nilai daripada lapangan gas yang sebelum ini dianggap terdampar. 

Kemudahan terapung ketiga dalam perancangan di Sipitang, Sabah, dijangka siap pada 2027. Inovasi ini mengetengahkan keupayaan Petronas untuk memacu inovasi teknologi dan mengekalkan kebolehpercayaan bekalan dengan pendekatan baharu.

Syarikat turut membina masa depan melalui projek LNG Canada di British Columbia, operasi  antarabangsa baharunya. 

Terletak secara strategik di Pantai Pasifik, projek ini menyediakan laluan penghantaran secara terus dan cekap ke Asia Utara, mengurangkan masa pelayaran dan kos pengangkutan dengan ketara selain mengurangkan pendedahan terhadap risiko dalam rantaian bekalan global.

“Laluan penghantaran terus memendekkan masa pelayaran, seterusnya mengurangkan kos pengangkutan selain mengurangkan pendedahan terhadap potensi gangguan rantaian bekalan dalam ketegangan geopolitik semasa,” kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Petronas Datuk Adif Zulkifli dalam temu bual baru-baru ini. 

Dengan kapasiti ekuiti Fasa 1 sebanyak 3.3 juta tan setahun dan potensi untuk meningkat dalam Fasa 2, LNG Canada merupakan pangkalan bekalan baharu yang mengukuhkan keupayaan Petronas untuk memenuhi permintaan meningkat di Asia.

Aspek penting ialah, ia juga antara kemudahan LNG dengan pelepasan karbon terendah di dunia, mencatatkan jejak karbon sebanyak 60 peratus di bawah purata industri global.

“Ini meletakkan Petronas dalam kedudukan untuk membantu pembeli di Asia Utara mengurangkan kebergantungan terhadap penjanaan tenaga berasaskan arang batu, mengurangkan pelepasan berkaitan sehingga separuh dalam sesetengah kes,” katanya.

Petronas kini membekalkan kira-kira 10 peratus daripada LNG dunia.

“Dengan kemudahan di Malaysia dan Kanada sebagai pusat bekalan terkini kami, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong keperluan tenaga di Asia dalam tempoh beberapa dekad akan datang,” katanya.

Bagi Malaysia, eksport LNG kekal sebagai pemacu utama ekonomi, menyumbang sebanyak lima peratus daripada jumlah eksport negara, bersamaan dengan kira-kira RM60 bilion setahun.

Sektor ini mewujudkan rantaian nilai yang meliputi penerokaan luar pesisir, pemprosesan dalam pesisir, penghantaran dan perkhidmatan, menjana pekerjaan dan limpahan ekonomi di seluruh negara.

“Apabila kami mengekalkan eksport LNG, ini akan mewujudkan banyak peluang dan impak berganda dalam seluruh ekosistem tempatan,” katanya.

Mengimbangi Keperluan Tenaga Malaysia

Pada masa sama, Petronas dalam usaha mengimbangi eksport dengan keperluan domestik Malaysia.

Bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya permintaan yang meningkat di Semenanjung Malaysia, Petronas bertindak menggabungkan pembangunan gas huluan dengan import LNG.

Dari perspektif import, Adif berkata permintaan gas bagi Semenanjung Malaysia terbukti berkembang pesat, didorong oleh pengembangan pusat data, penggunaan teknologi kecerdasan buatan dan dasar negara bagi penamatan berfasa penjanaan tenaga menggunakan arang batu.

Bekalan gas luar pesisir di Semenanjung Malaysia pada masa ini adalah kira-kira dua bilion kaki padu standard sehari (BSCF sehari) dan kekurangan itu ditampung menerusi usaha import LNG, katanya.

Beliau berkata import berkenaan diuruskan melalui terminal regasifikasi di Pengerang, Johor dan Sungai Udang, Melaka, dengan bekalan diperoleh daripada portfolio Petronas, terutama dari Australia dan pada masa depan, dari Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

Ketika Petronas melaksanakan kesemua usaha berkenaan, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memanfaatkan sepenuhnya peranan gas asli dalam menyokong keterjaminan tenaga Malaysia.

Adif berkata ini termasuk liberalisasi pasaran gas domestik bagi menggalakkan penglibatan ketara kalangan pengimport pihak ketiga LNG.

Pada masa ini, had harga gas yang dikawal selia hanya mengekang persaingan selain tidak menggalakkan penyertaan baharu.

Sehubungan itu, langkah membuka pasaran dapat meningkatkan penggunaan infrastruktur sedia ada, membawa masuk pelbagai pembekal dan akhirnya menyediakan bekalan domestik yang lebih stabil dan pelbagai.

Penyahkarbonan Rantaian Nilai Ke Arah Sasaran NZCE 2050 

Tonggak strategi Petronas ialah komitmennya terhadap kemampanan. 

Sejajar dengan sebahagian daripada hala tuju Pelepasan Karbon Sifar Bersih 2050 (NZCE 2050), syarikat melaksanakan penyahkarbonan rantaian nilai gas dengan menghapuskan pembakaran secara rutin, memperkenalkan langkah-langkah kecekapan tenaga serta elektrifikasi kompleks LNG Bintulu dengan kuasa hidro boleh baharu.

Petronas turut memajukan pelbagai projek pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di Sarawak dan Semenanjung Malaysia selain mengukuhkan pengurusan metana yang seiringan kedudukannya sebagai pihak penandatangan Kerjasama Minyak dan Gas Metana 2.0 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Gas akan kekal sebagai pengupaya kritikal dalam episod pertumbuhan Asia. Menerusi kemudahan Malaysia yang bertaraf dunia, tumpuan bekalan baharu seperti LNG Canada dan usaha penyahkarbonan, menjadikan Petronas dalam kedudukan baik untuk memenuhi keperluan tenaga Asia bagi dekad-dekad akan datang,” katanya.

Membentuk Pertumbuhan Rendah Karbon Asia 

Strategi Peralihan Tenaga Petronas memacu pertumbuhan mampan sambil meletakkan syarikat itu pada kedudukan sebagai peneraju serantau dalam transformasi tenaga Asia.

Bersandarkan gas asli sebagai bahan api destinasi, Petronas memanfaatkan kelebihannya seperti kestabilan, kebolehskalaan dan penerimagunaan bagi membangunkan infrastruktur tenaga yang berdaya tahan dan memenuhi permintaan semasa serta matlamat kemampanan masa depan di serata rantau.

Perniagaan gas dan maritim adalah sebahagian daripada evolusi untuk muncul sebagai ‘superstore’ atau gedung tenaga yang menyampaikan penyelesaian spektrum sepenuhnya daripada LNG kepada bahan api masa depan seperti hidrogen, kesemuanya dipacu oleh kecemerlangan operasi selama berpuluh-puluh tahun.– Bernama

Continue Reading

Previous: Semua penumpang kereta bakal wajib pakai tali pinggang keledar
Next: PTPK nafi dakwaan henti pembiayaan pinjaman pelajaran, elaun sara hidup

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.