
BINTULU: Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) terus memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak sebagai pelaburan jangka panjang bagi melahirkan generasi Malaysia MADANI yang berdaya saing, berkemahiran dan seimbang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pendidikan prasekolah merupakan fasa kritikal yang membentuk sahsiah, kemahiran sosial, kognitif dan emosi anak-anak, sekali gus menentukan kualiti modal insan negara.
“Prasekolah adalah asas penting dalam sistem pendidikan negara. Di sinilah bermulanya proses pembentukan sahsiah, kemahiran sosial serta perkembangan kognitif dan emosi anak-anak.
“Justeru, karnival seperti ini bukan sekadar medan mempamerkan bakat dan potensi anak-anak prasekolah, tetapi juga platform memperkukuh kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat dalam mendukung aspirasi pendidikan negara,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penangguhan Karnival Kecemerlangan Pendidikan Murid Prasekolah KPM Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Restoran Dinner World, di sini, hari ini.
Menurutnya, karnival itu membuktikan komitmen KPM memastikan pendidikan prasekolah dilaksanakan secara holistik, inklusif dan menyeluruh, selaras aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia serta konsep Malaysia MADANI yang mengutamakan nilai, kesejahteraan dan kecemerlangan.
Beliau menambah, pengisian program yang pelbagai seperti Smart Digital, Tarian Lagu Rakyat, Pentas Boneka, Fantasi Si Cilik dan Bakat Khas bukan sekadar hiburan, sebaliknya medan memupuk kemahiran abad ke-21, keyakinan diri dan daya saing global dalam kalangan murid.
Johnny Pang mengiktiraf dedikasi guru prasekolah yang menjadi tunjang kecemerlangan pendidikan awal, selain menggesa ibu bapa dan masyarakat terus bekerjasama dengan sekolah bagi memantapkan kualiti generasi akan datang.
“Penganjuran berterusan karnival seumpama ini mampu menyemai semangat cintakan ilmu dan negara sejak peringkat prasekolah, seterusnya memastikan Sarawak dan Malaysia mempunyai modal insan berwibawa menghadapi cabaran masa depan,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Dr Les Met dan Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili.
Oleh Carolyne Utih