
KUCHING: Pertandingan RoboClash 2025 bukan sekadar satu pertandingan, tetapi sebuah landasan penting dalam melahirkan pencipta, jurutera dan penggerak masa depan.
Demikian menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, menerusi ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I (Pendidikan Tinggi dan Inovasi), Datuk Dr Annuar Rapa’ee, semasa merasmikan pertandingan tersebut di sini, hari ini.

“Pertandingan seperti RoboClash ini mencerminkan semangat inovasi, pendidikan dan pemerkasaan belia dengan memberi peluang kepada pelajar menerapkan ilmu, menguji kreativiti dan meneroka bidang robotik, dron serta kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau menegaskan bahawa bidang robotik kini bukan lagi sesuatu yang kecil, malah telah menjadi pemacu global dalam pelbagai sektor penting.
“Bidang robotik kini bukan lagi sesuatu yang kecil, sebaliknya ia telah menjadi pemacu global dalam industri, kesihatan, pertanian, logistik dan pendidikan. Justeru, pendidikan STEM amat penting kerana ia membekalkan generasi muda dengan kemahiran menyelesaikan masalah serta semangat inovasi,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, pendedahan awal melalui pertandingan seperti RoboClash mampu membuka peluang baharu kepada pelajar, sekali gus memastikan Sarawak kekal berdaya saing dalam ekonomi digital global.
“Melalui penyertaan dalam pertandingan sebegini, pelajar bukan sahaja didedahkan kepada teknologi, tetapi juga diasah kemahiran berfikir secara kritis, bekerja dalam pasukan dan menyelesaikan masalah dunia sebenar,” katanya.


SEKITAR suasana pertandingan RoboClash 2025 di Bangunan Tegas Digital Village hari ini.
“Saya ingin mengucapkan syabas kepada pihak penganjur kerana berjaya melibatkan kerjasama merentas sektor agensi kerajaan, institusi akademik dan pihak industri dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji penganjuran pertandingan yang berjaya menghimpunkan penyertaan dari sekolah awam dan swasta serta melibatkan kerjasama pelbagai pihak.
“Usaha ini membuktikan bahawa kerjasama rentas sektor mampu memberi impak besar kepada pembangunan bakat, penglibatan komuniti dan pemerkasaan digital di Sarawak.”
Beliau turut memberi galakan kepada para peserta agar melihat pertandingan ini sebagai batu loncatan ke arah masa depan yang lebih cerah.
“Kepada para peserta, saya ingin mengingatkan lihatlah RoboClash sebagai satu batu loncatan ke arah pencapaian yang lebih besar dalam pendidikan dan kerjaya. Saudara dan saudari adalah perintis masa depan digital Sarawak.”
“Semoga pertandingan ini mencetuskan idea baharu dan membakar semangat dalam bidang robotik serta inovasi,” katanya.
Oleh Norman B