
Pep Guardiola. Foto AFP
LONDON: Manchester City berdepan tekanan untuk mengelak kekalahan ketiga berturut-turut apabila menentang jiran setempat, Manchester United, ketika Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali hujung minggu ini.
Pengurus City, Pep Guardiola, dan pengendali United, Ruben Amorim, sama-sama berada dalam tekanan tinggi biarpun saingan baru memasuki tiga perlawanan.
Juara bertahan, Liverpool kekal sebagai satu-satunya pasukan dengan rekod 100 peratus.
Derby Manchester di Stadium Etihad menemukan dua pasukan bermasalah, masing-masing hanya meraih satu kemenangan daripada tiga perlawanan liga.
Dua kekalahan berturut-turut City kepada Tottenham dan Brighton menimbulkan persoalan mengenai rombakan besar Guardiola selepas pasukannya sekadar menamatkan musim lalu di tempat ketiga.
Masalah dihadapi Guardiola tidak selesai sejak City dikecewakan Brighton dua minggu lalu, dengan penyerang Mesir, Omar Marmoush, disahkan tidak dapat diturunkan dalam derby Ahad ini kerana kecederaan lutut.
Rayan Cherki dan Mateo Kovacic terus diketepikan, manakala tahap kecergasan John Stones, Rayan Ait-Nouri, Rico Lewis, Nico O’Reilly dan Abdukodir Khusanov turut diragui selepas semuanya menarik diri daripada tugasan antarabangsa minggu ini.
Manchester United pula memerlukan sepakan penalti saat akhir Bruno Fernandes selepas satu lagi persembahan penuh kesilapan menentang Burnley untuk meraih kemenangan pertama musim ini.
Kemenangan dramatik itu hadir selepas skuad kendalian Amorim tewas kepada Arsenal, seri dengan Fulham dan dimalukan dengan penyingkiran daripada Piala Liga di tangan pasukan divisyen keempat, Grimsby. – AFP