
KUCHING: Dua mangsa di Miri dan Kota Samarahan dilaporkan menjadi mangsa penipuan melibatkan kerugian hampir RM850,000.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mancha Ata berkata, kes pertama melibatkan seorang usahawan wanita tempatan berusia 60-an di Miri yang ditipu melalui panggilan telefon pada awal Ogos lalu.
“Mangsa telah dihubungi oleh seorang lelaki menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Penipuan Nasional (NSRC) sebelum disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis. Mangsa terpedaya lalu membuat beberapa transaksi berjumlah lebih RM550,000 ke dalam akaun yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila suspek terus meminta sejumlah wang tambahan.
Bagi kes kedua, seorang kerani tadbir berusia lewat 50-an di Kota Samarahan kerugian kira-kira RM300,000 selepas terperdaya dengan pelaburan tidak wujud dikenali sebagai ‘Ares MFC’ pada Jun lalu.
“Mangsa diperdaya melalui iklan di Facebook sebelum berurusan dengan seorang wanita tidak dikenali yang menyamar sebagai ejen pelaburan menerusi aplikasi WhatsApp. Mangsa kemudian diarahkan memuat turun aplikasi ‘AresMFC’ serta dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp untuk membuat pelaburan,” ujarnya.
Hasilnya, mangsa membuat beberapa transaksi wang ke dalam akaun yang diberikan suspek. Bagaimanapun, hanya RM2,880 sahaja berjaya dikeluarkan semula sebelum mangsa menyedari telah ditipu apabila gagal menghubungi suspek.
Sehubungan itu, Dato’ Mancha menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada pemanggil tidak dikenali yang mendakwa dari agensi rasmi.
“Orang ramai dinasihatkan hanya membuat pelaburan di platform yang sah dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa singkat,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk membuat semakan nombor telefon dan akaun bank melalui aplikasi Check Scammers CCID atau laman web semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Selain itu, orang ramai boleh menghubungi NSRC di talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan siber seperti phone scam, love scam atau pelaburan tidak wujud.