PALOH: Projek pembinaan Jambatan Batang Paloh yang menelan kos sebanyak RM298 juta akan menjadi pemangkin pembangunan di kawasan Pulau Bruit khasnya.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek pembinaan jambatan sepanjang 1.7 kilometer itu merupakan salah satu penghubung yang sangat penting untuk melengkapkan jaringan jalan pesisir.
Menurutnya, ia juga merupakan salah satu projek jambatan yang akan menghubungkan Tanjung Manis dengan Pulau Bruit.
“Hari ini ada istimewanya, selalunya apabila saya dijemput untuk melancarkan projek, saya mengumumkan projek yang belum bermula. Tetapi hari ini projek (Jambatan Batang Paloh) sudah dilaksanakan, bermakna ia bukan janji kosong.
“Pulau Bruit disambung dengan Daro melalui Jambatan Batang Lassa, Tanjung Manis disambung dengan Paloh melalui Jambatan Batang Paloh. Kawasan ini menjadi sudah setanah kerana dapat dihubungi melalui jambatan,” jelasnya.
Ketua Menteri berkata demikian semasa berucap menyempurnakan upacara Pecah Tanah Jambatan Batang Paloh, di Pulau Bruit, semalam.
Menurutnya, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing memberitahu Jambatan Batang Paloh boleh membawa paip besar bersaiz 550 mm.
“Bermakna kalau kita sudah ada grid negeri, bekalan air dapat disambung ke kawasan Pulau Bruit dengan syarat hanya Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dapat melakukan semua ini.
“Apabila bekalan air dan elektrik sudah ada, maka membangunlah kawasan Pulau Bruit ini,” ujarnya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada semua tetamu yang hadir.
Katanya, kini hanya terpulang kepada penduduk di kawasan Pulau Bruit untuk mengaturkan yang seterusnya.
“Islam mengatakan Allah SWT tidak mengubah nasib sesebuah kaum, melainkan kaum itu mengubah nasibnya sendiri. Di Sarawak ini GPS mengubah nasib orang Sarawak,” ujarnya lagi.
Tambahnya, Kerajaan GPS mempunyai cara sendiri untuk melaksanakan projek pembinaan jalan raya dan jambatan walaupun kosnya tinggi.
“Kerana ini adalah satu pelaburan yang kita beri kepada penduduk di luar bandar. Apabila penduduk luar bandar sudah ada rangkaian perhubungan seumpama ini, maka nilai tanah akan meningkat, tanah dapat digunakan untuk bercucuk tanam secara moden dan hasil laut dapat kita jualkan,” ujar beliau.
Pada majlis tersebut, Ketua Menteri turut meluluskan peruntukan RM7.2 juta untuk projek menurap jalan ladang dari simpang Sungai Nai ke Penuai sepanjang 10 kilometer, Missing Link di jalan-jalan berturap utara Pulau Bruit sepanjang 1 kilometer (RM3.6 juta), peruntukan untuk rumah panjang dari simpang Sibu Tanjung Manis ke Mupong (RM3 juta) dan jalan dari Sedi ke Sebako (RM5.4 juta).
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi dan ADUN Daro, Safiee Ahmad.
Oleh Akun Giman