
KUCHING: Pengorbanan tentera Australia bersama rakyat tempatan semasa Perang Dunia Kedua akan terus dikenang sebagai asas hubungan erat Malaysia-Australia hari ini.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, peringatan tersebut bukan sekadar mengenang tamatnya perang tetapi juga menghormati ketabahan semangat manusia serta keamanan yang sukar diperoleh dan perlu dipelihara untuk generasi akan datang.
“Tahun ini menandakan 70 tahun kewujudan hubungan diplomatik Australia di Malaysia yang kini diperkukuh menerusi Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) meliputi perdagangan, pendidikan, ekonomi digital, perubahan iklim, pertahanan dan keselamatan serantau.
“Hubungan kedua-dua negara tidak hanya bertumpu pada peringkat kerajaan, malah dipacu oleh jaringan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis pengulangan semula penyerahan di atas kapal peronda Australia HMAS Cape Schanck di Dermaga Sim Kheng Hong, hari ini.

Dalam pada itu, acara turut diserikan dengan kehadiran kapal peronda Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Cape Schanck yang berlabuh di Kuching sebagai sebahagian daripada penglibatan antarabangsa pasukan berkenaan.
HMAS Cape Schanck merupakan kapal kelas Cape yang dibangunkan daripada model Armidale, dilengkapi teknologi baharu serta direka khusus untuk operasi penguatkuasaan dan pemeriksaan maritim.

Kehadiran kapal itu di utara Khatulistiwa juga merupakan pengalaman pertama bagi majoriti kru, dan peluang tersebut disifatkan sebagai penghormatan untuk mengibarkan bendera Australia di Malaysia.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, mewakili Pesuruhjaya Tinggi Australia, Simon Fellows; Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng dan lain-lain.
Oleh Amanda L