
BINTULU: Anugerah Premier Alam Sekitar Sarawak (PSEA) ke-12 dengan tema ‘Perkukuh Usaha Alam Sekitar untuk Sarawak yang Teguh’ terus menjadi platform untuk memperkukuh dasar hijau, mengiktiraf pencapaian lestari dan mengangkat kedudukan Sarawak sebagai peneraju serantau dalam tadbir urus alam sekitar.
Controller Kualiti Alam Sekitar, Datu Jack Liam berkata, anugerah dwitahunan itu bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya gerakan kolektif yang mendorong amalan mampan di semua peringkat masyarakat.
“Anugerah ini bertujuan memupuk tanggungjawab bersama di semua peringkat masyarakat.
“Harapan kita adalah semangat penjagaan alam sekitar ini berkembang bukan sahaja dalam organisasi awam dan swasta, malah dalam kalangan rakyat individu untuk melindungi warisan semula jadi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran PSEA Ke-12 (2025/2026) di hotel di sini, hari ini.

Menurutnya, tema kali ini memberi penekanan kepada usaha menangani cabaran perubahan iklim, pencemaran dan pembangunan tidak lestari melalui dasar kukuh, pendidikan berterusan serta penggunaan teknologi hijau.
Katanya lagi, kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, akademia dan pertubuhan bukan kerajaan amat penting bagi memperluas projek berimpak tinggi, selain memperkukuh pelaburan dalam infrastruktur hijau untuk kesejahteraan rakyat.
Beliau menjelaskan, edisi ke-12 memperkenal penambahbaikan termasuk penambahan sektor perikanan dan akuakultur di bawah kategori industri, menjadikan keseluruhan tujuh sektor diiktiraf dalam pertandingan kali ini.
Selain itu, kategori syarikat kecil turut dipecahkan kepada perusahaan kecil dan mikro bagi memastikan penilaian lebih adil mengikut kapasiti sumber, tenaga kerja dan kemampuan kewangan masing-masing.
Peserta dari industri, pihak berkuasa tempatan dan premis makanan diwajibkan menghantar Laporan Prestasi Alam Sekitar Kendiri (SePR) sebagai peringkat awal penilaian sebelum penilaian tapak dilakukan ke atas peserta yang disenarai pendek, manakala kategori terbuka dinilai berdasarkan laporan sahaja.
Beliau berkata, pemenang bukan sahaja menerima pengiktirafan tetapi juga kredibiliti sebagai model teladan dalam amalan lestari sekali gus mendorong pihak lain untuk mencontohi usaha mereka.
Majlis pelancaran turut menyaksikan pengenalan logo baharu PSEA 2025/2026 yang melambangkan tekad memperkukuh kelestarian, ketahanan dan penjagaan alam sekitar sebagai bab baharu menuju masa depan hijau.
Oleh Carolyne Utih