
SIBU: Seorang pekerja kem balak dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kapit, semalam, selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan dadah berbahaya tiga tahun lalu.
Hakim Musyiri Peet memutuskan bahawa tertuduh, Bernard Chu, 35, gagal menyangkal dakwaan yang dikemukakan pihak pendakwaan di bawah Seksyen 37(k) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Setelah mendengar keterangan saksi-saksi pembelaan dan meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan atas pertuduhan yang dikenakan,” katanya ketika membacakan keputusan mahkamah.
Hakim turut memerintahkan agar hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap semula, iaitu 13 Mei 2025, dan Chu akan berada di bawah pengawasan pihak polis selama tiga tahun selepas dibebaskan.
Tertuduh sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, namun keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Tinggi Sibu pada 9 Mei 2025, selepas rayuan dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Wong Siong Tung, memutuskan bahawa tertuduh perlu dipanggil untuk membela diri atas kesalahan menyalahguna dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine, yang dilakukan pada 21 Julai 2022, sekitar 8.15 pagi di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kapit.
Chu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39C(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali jika sabit kesalahan.
Peguam bela tertuduh, dalam rayuannya memohon hukuman minimum dikenakan, memaklumkan bahawa Chu telah berubah dan tidak lagi mengambil bahan terlarang selepas dibebaskan sebelum ini.
“Ini menunjukkan penyesalan dan perubahan positif dalam diri anak guam kami. Kami mohon agar hukuman diambil kira bermula dari tarikh dia ditangkap semula,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Cynthia Emmelda Jerry.