Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • 80 Tahun Pembebasan Sarawak: Tugu peringatan dirasmikan di Pending Point
  • TEMPATAN

80 Tahun Pembebasan Sarawak: Tugu peringatan dirasmikan di Pending Point

Utusan Sarawak 12 hours ago
RAKAM KENANGAN… Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian bersama tetamu kehormat bergambar pada perasmian Tugu Pembebasan Sarawak daripada Pendudukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua di Pending Point Kuching, hari ini. Foto UKAS

KUCHING: Sarawak hari ini mencatat satu lagi detik bersejarah dengan perasmian Tugu Pembebasan Sarawak daripada Pendudukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua di Pending Point, bersempena ulang tahun ke-80 penyerahan rasmi tentera Jepun di Kuching pada 11 September 1945.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian menegaskan bahawa tugu berkenaan bukan sekadar mercu tanda, tetapi simbol penghormatan dan pengiktirafan kepada keberanian serta pengorbanan rakyat Sarawak yang menanggung penderitaan lebih tiga tahun di bawah pendudukan Jepun.

“Penyerahan Jepun pada 11 September 1945 menamatkan lebih tiga tahun penderitaan rakyat dan membuka jalan kepada masa depan Sarawak. Kita bukan sahaja mengenang kemenangan, tetapi juga pengorbanan tentera bersekutu dari Australia, Britain, New Zealand, Kanada dan lain-lain, termasuk wira tempatan yang bangkit menentang penjajahan.

UCAPAN… Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berucap pada perasmian Tugu Pembebasan Sarawak daripada Pendudukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua di Pending Point Kuching, hari ini.

“Monumen ini adalah janji bahawa keberanian dan pengorbanan mereka tidak akan dilupakan. Kebebasan tidak pernah percuma ia menuntut keberanian untuk memperolehinya, kebijaksanaan untuk mengekalkannya, dan perpaduan untuk mempertahankannya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian monumen tersebut di sini, hari ini.

Beliau turut menggesa generasi muda agar menghargai keamanan yang dinikmati hari ini, kerana ia dibayar dengan darah dan air mata mereka yang berjuang menentang penjajahan.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Selatan Dato’ Wee Hong Seng menjelaskan bahawa tugu tersebut bukan sekadar sebuah binaan fizikal, tetapi merupakan lambang penghargaan terhadap keberanian dan pengorbanan rakyat Sarawak semasa pendudukan Jepun.

DATUK Amar Dr. Sim Kui Hian meletakkan kalungan bunga pada Tugu Pembebasan Sarawak. Foto UKAS

“Tugu ini bukan sekadar mercu tanda. Ia melambangkan semangat dan keberanian rakyat Sarawak yang telah menanggung pengorbanan besar demi kemerdekaan dan keamanan. Saya berharap generasi muda akan terus menghargai nilai kebebasan yang telah dibayar dengan nyawa dan keberanian luar biasa.” ujar beliau.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, His Excellency Simon Fellows, menekankan kepentingan detik bersejarah yang berlaku di Sungai Sarawak pada tarikh yang sama, 80 tahun lalu.

“Dokumen penyerahan tentera Jepun ditandatangani di atas kapal HMAS Kapunda dengan Brigadier General Thomas Eastick menerima penyerahan daripada Major General Hiyoe Yamamura. Peristiwa ini kekal sebagai detik bersejarah yang mengikat kisah Australia dan Sarawak,” jelasnya.

DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah meletakkan kalungan bunga pada Tugu Pembebasan Sarawak. Foto UKAS

Beliau turut memaklumkan bahawa cucu kepada Brigadier General Thomas Eastick, iaitu Michael Eastick, baru-baru ini menyerahkan dokumen asal penyerahan Jepun tahun 1945 kepada kerajaan Sarawak sebagai tanda penghormatan dan simbol persahabatan antara kedua-dua negara.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, His Excellency Simon Fellows, Konsul Jeneral Republik Rakyat China, Seng Wee Peng, Konsul Jeneral Brunei Darussalam, Sheikh Abdul Madani Dato Paduka Sheikh Adegani, serta delegasi khas keluarga Brigadier General Thomas Eastick dari Australia.

Dokumen bersejarah itu menjadi saksi penamat kepada pendudukan Jepun di Sarawak, sekali gus membuka jalan kepada operasi pembebasan yang dikenali sebagai Operasi Oboe 6 (Operasi Oboe VI).

DATO Wee Hong Seng meletakkan kalungan bunga pada Tugu Pembebasan Sarawak. Foto UKAS

Operasi tersebut menyaksikan keberanian Divisyen Kesembilan Australia yang melancarkan serangan di Labuan dan Brunei Point pada Jun 1945, sebelum mara membebaskan Borneo Utara dan Sarawak.

Dalam operasi itu, seramai 114 anggota tentera Australia terkorban manakala sekitar 1,400 tentera Jepun terbunuh. 

Pengorbanan tersebut membolehkan ribuan tawanan perang di Kem Batu Lintang diselamatkan serta membuka lembaran baharu kebebasan di negeri ini.

Upacara perasmian pagi tadi turut diserikan dengan penghormatan khas kepada pasukan Divisyen Kesembilan Australia yang diiktiraf sebagai wira dalam sejarah pembebasan Sarawak.

Turut sama, Leftenan Morgan Eastick yang kini berkhidmat bersama Australian Rifle Company di Butterworth, sebagai kesinambungan tradisi perkhidmatan keluarga Eastick dalam angkatan tentera Australia.

Majlis tersebut menegaskan sekali lagi bahawa hubungan erat antara Malaysia dan Australia hari ini adalah kesinambungan daripada sejarah panjang kerjasama serta pengorbanan bersama sejak zaman peperangan.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Alumaster syarikat pertama di Sarawak peroleh pensijilan berganda SIRIM, CIDB
Next: Tun Wan Junaidi rakam perutusan Hari Malaysia 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.